Dua beradik diami rumah 'tong sampah' diselamatkan

Dua beradik hidup di dalam rumah dipenuhi sampah sarap. - Daily Mail
Dua beradik hidup di dalam rumah dipenuhi sampah sarap. - Daily Mail
A
A
A

TAIWAN - Dua beradik perempuan berjaya diselamatkan oleh sebuah NGO setelah mendiami rumah 'tong sampah' di bandar Wandan, di sini.

Hidup dalam timbunan sampah, kanak-kanak berusia dua tahun dan bayi berusia satu tahun itu berjaya diselamatkan oleh Kelab Belia Haiqing dari Bandar Pingtung.

Dua keping gambar dari kelab itu memaparkan imej seorang kanak-kanak berusia dua tahun duduk di sofa dikelilingi timbunan sampah sarap seperti botol, plastik, bekas minuman dan kotak makanan.

Sementara itu, di dalam bilik, kelihatan seorang bayi sedang tidur di dalam katil bayi juga ditemani sampah sarap yang sama tinggi dengannya.

Menurut NGO, mereka membuat lawatan ke rumah keluarga kurang bernasib baik dan bertemu dengan pasangan suami isteri yang juga seorang pengganggur bersama dua anak mereka.

Keadaan rumah mereka sangat kotor, bau busuk, dipenuhi botol air, kotak, bekas makanan kosong, juga terdapat sisa makanan termasuk haiwan perosak seperti tikus dan lipas.

Rentetan itu, kes tersebut mendapat perhatian daripada Jabatan Hal Ehwal Sosial Daerah.

Seramai 30 sukarelawan menghabiskan masa sehari pada 22 Ogos lalu untuk membersihkan rumah berkenaan yang dipenuhi timbunan sampah selain pakaian kotor tidak dibasuh, sekali gus menyebabkan bau busuk.

Artikel Berkaitan:

Selepas dibersihkan sukarelawan, dua lori digunakan untuk mengangkut sampah serta barangan lain yang sudah rosak atau tidak boleh digunakan untuk dibuang di tapak pelupusan.

Pasangan suami isteri yang mendapat bantuan dari kerajaan telah menyalahi undang-undang kerana mengabaikan kebajikan kanak-kanak tersebut, kata pegawai kebajikan sosial.

Namun pihak berkaitan tetap membantu keluarga berkenaan dengan menempatkan seorang pekerja sosial sepenuh masa bagi mengelakkan perkara sama berulang. - Daily Mail

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!