Remaja ditemukan tergantung dalam tandas rumah
GEORGETOWN - Seorang remaja ditemukan tergantung dalam tandas rumahnya di sebuah pangsapuri Taman Seri Relau, Paya Terubong di sini semalam.
Dalam kejadian jam 10.50 malam, mayat lelaki berusia 13 tahun ditemui oleh bapanya selepas dia dikatakan tidak keluar daripada bilik air selepas 30 minit mandi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, curiga dengan keadaan itu bapanya yang berusia 49 tahun bertindak menolak pintu bilik air dan mendapati anaknya tergantung dengan kain tuala yang diikat pada palang besi.
Menurutnya, bapanya menurunkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun anaknya itu muntah dan dia tidak pasti sama ada anak bongsunya itu masih hidup ataupun telah meninggal dunia.
"Bapanya minta bantuan jiran untuk panggil ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun ketika sampai di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang, remaja tingkatan satu itu telah disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin menghadapi tekanan berikutan dia kurang minat untuk belajar selain prestasinya lemah.
Katanya, sebelum ini mangsa pernah mengadu terlalu banyak kerja rumah yang perlu disiapkan dan gurunya pernah menghubungi ibu mangsa memaklumkan dia tidak membuat kerja rumah.
"Sebelum kejadian, ibu mangsa mengarahkannya untuk buat kerja rumah. Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menemui kesan pergelutan atau kecederaan dan tiada sebarang senjata di temui di lokasi kejadian," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan tergantung.
Che Zaimani berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!