Lawatan Dr Mahathir ke Vietnam perkukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto BERNAMA
A
A
A

HANOI - Lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam selama tiga hari bermula esok akan memperkukuhkan hubungan dan meningkatkan nilai dagangan dua hala kepada AS$15 bilion pada tahun depan.

Duta Malaysia di Vietnam Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa berkata lawatan pertama Dr Mahathir itu setelah memegang jawatan perdana menteri untuk kali kedua, atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Beliau berkata lawatan ini akan merapatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin selama 46 tahun, sejak 1973.

"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan untuk mempromosikan kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, isu serantau dan antarabangsa” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dijangka dibincangkan dalam pertemuan kali ini, kata beliau.

Kali terakhir Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam adalah pada tahun 1996 dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 1998.

Shariffah Norhana berkata Vietnam merupakan rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia yang mana nilai dagangan Malaysia dan Vietnam berjumlah AS$13.3 bilion pada tahun lepas.

"Eksport Malaysia ke Vietnam mencecah AS$8.48 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah AS$4.77 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Kini, Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Vietnam manakala Vietnam pula adalah rakan dagang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan ke-4 terbesar dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dr Mahathir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pada 5.20 petang (waktu tempatan) esok dan seterusnya menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Vietnam.

Pada Selasa, perdana menteri akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Istana Presiden. Kedua-dua perdana Menteri akan mengadakan pertemuan terhad, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam.

Selepas mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Ahli Parlimen Malaysia dan Vietnam, disusuli dengan sidang media bersama.

Pada hari yang sama, Dr Mahathir akan menghadiri dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia yang melibatkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam, manakala pada sebelah malam, beliau dan Dr Siti Hasmah akan diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang dihoskan Nguyen Xuan Phuc.

Pada Rabu, perdana menteri akan melawat ke Hoa Lac Hi-Tech Park, berucap di University FPT mengenai ‘Persediaan Malaysia Dalam Berurusan Dengan IR 4.0’ selain melihat pameran kereta VinFast, buatan Vietnam model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5.

Selain itu, Dr Mahathir juga akan melawat Noi Bai Industrial Zone, zon industri terawal di Vietnam, dan melawat pameran hi-tech di Yamaha Motor Vietnam di zon tersebut.

Beliau merasmikan upacara pecah tanah zon perindustrian tersebut pada tahun 1996. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!