Malaysia bincang langkah wujud imbangan dagangan lebih baik dengan India

Menteri Industri Utama Teresa Kok (dua, kanan) memegang buku autograf KMJG 19 sempena Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Endah Parade hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Industri Utama Teresa Kok (dua, kanan) memegang buku autograf KMJG 19 sempena Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Endah Parade hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Industri Utama akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan langkah mewujudkan imbangan dagangan yang lebih baik antara Malaysia dan India untuk pasaran sawit.

Menterinya, Teresa Kok berkata, perkara itu bertujuan untuk membolehkan eksport minyak sawit negara memasuki pasaran India dengan duti import yang lebih rendah.

"Mereka (India) minta agar imbangan dagangan dengan deposit itu dapat diatasi, dan saya bawa perkara ini dalam mesyuarat kabinet.

"Mereka minta supaya lebih banyak barangan dari India memasuki pasaran Malaysia. Saya juga harus menimbang permintaan dari kerajaan India, dan atas sebab itu kita adakan mesyuarat untuk membincangkan perkara ini," katanya kepada media pada program Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Kembara Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, imbangan dagangan antara negara berkenaan dengan Malaysia berjumlah AS$2.3 bilion dengan pengurangan dari pihak India, iaitu daripada kira-kira 54 peratus kepada kira-kira 45 peratus.

Pada 17 Ogos lepas, India memulakan siasatan sama ada lonjakan penghantaran minyak sawit dari Malaysia menjejaskan industri domestiknya seperti siasatan unit kementerian perdagangan negara itu.

Menurut laporan data bulanan yang dikeluarkan oleh kumpulan industri, Solvent Extractors’ Association of India (SEA), import minyak sawit India melonjak 18.3 peratus bulan lepas berbanding Jun tahun ini.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pula melaporkan, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, India mengimport 2.16 juta tan metrik minyak sawit dari Malaysia, peningkatan 76 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!