Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Negeri Sembilan
SEREMBAN - Beberapa kawasan di Negeri Sembilan akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam bermula 3 September ini berikutan kerja pengalihan dan penyelenggaraan paip di tiga loji rawatan air (LRA).
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Norzita Ismail berkata, gangguan bekalan air yang bermula pada jam 8 pagi itu meliputi kawasan Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin dan Jelebu.
“Sains akan melaksanakan penutupan sementara bekalan air yang dijangka akan mengakibatkan gangguan bagi beberapa kawasan di negeri ini bermula jam 8 pagi pada 3 September ini.
“Ia berikutan kerja penyelenggaraan di LRA Sungai Linggi, Gemencheh dan Kuala Klawang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norzita berkata, bekalan air akan disambungkan semula selepas jam 8 pagi pada 4 September dan dijangka pulih secara berperingkat.
“Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh pembaikan yang lebih lama.
“Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan ini adalah antara usaha berterusan Sains dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan pelanggan pada masa hadapan.
“Orang ramai yang yang tinggal di kawasan terjejas dinasihatkan membuat persiapan awal termasuk menyimpan bekalan air yang mencukupi,” katanya.
Tambahnya, pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-6982 untuk mendapatkan sebarang bantuan lanjut selain boleh menyemak melalui laman sesawang https://www.sainswater.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!