Gara-gara madu!
WASHINGTON - Leon Haughton suka mencampur madu dalam teh yang diminumnya. Oleh itu, setiap kali melawat ahli keluarga di Jamaica, Haughton akan membeli tiga botol madu kesukaannya untuk dibawa pulang ke Maryland, Amerika Syarikat (AS).
Ia merupakan rutin yang sering dilakukan oleh Haughton, seorang pemastautin tetap dengan kad hijau AS itu setiap kali sambutan Krismas.
Namun pada 29 Disember tahun lalu, Haughton, 45, ditahan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore susulan pemeriksaan pihak kastam yang menggunakan khidmat anjing pengesan.
Pihak kastam dilaporkan mengesyaki madu yang dibawa Haughton adalah cecair methamphetamine.
Haughton meringkuk hampir tiga bulan di penjara sebelum tuduhan terhadapnya digugurkan dan keputusan dua ujian makmal mengesahkan tiada bahan terkawal dalam botol madu yang dirampas.
Susulan penahanan itu, Haughton telah kehilangan dua pekerjaannya sebagai tukang cuci dan pekerja binaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!