Adakah IPCMC akan jadi realiti?

A
A
A

PADA bulan Julai, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019. RUU itu mencadangkan pembentukan sebuah badan pemantau bagi pasukan polis.

Badan yang akan dikenali sebagai IPCMC itu mula disyorkan pada tahun 2005 oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. IPCMC adalah teras utama dalam syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja tersebut, yang juga termasuk syor untuk memperbaiki kebajikan pasukan polis.

Masyarakat madani dan parti pembangkang telah lama mendesak kerajaan untuk membentuk IPCMC.

Namun, kerajaan terdahulu telah membentuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, sebuah badan pemantau yang tidak mempunyai ‘taring’ tetapi ditugaskan untuk menyiasat aduan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, telah dijanjikan bahawa IPCMC ini akan dibentuk dan walaupun mendapat tentangan daripada polis untuk sekian lama, akhirnya Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah bersetuju dengan pembentukan IPCMC tersebut.

Maka, setelah lebih daripada satu dekad syor dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja, RUU IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bar Malaysia, yang telah lama memperjuangkan IPCMC ini telah menyambut baik langkah kerajaan untuk membentangkan RUU tersebut.

Menurut Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor, pembentukan IPCMC itu adalah langkah pertama yang penting dan cara tunggal untuk mengenalpasti anasir negatif dalam PDRM yang boleh dikenalpasti dan dipertanggungjawabkan ke atas salah laku serta kesalahan mereka.

Artikel Berkaitan:

RUU IPCMC itu telah mengambil sebahagian besar cadangan-cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai IPCMC. Yang penting sekali, RUU tersebut mencadangkan supaya IPCMC diberi kuasa mengambil tindakan terhadap anggota polis yang didapati salah

Pada masa ini, pihak kerajaan sedang menjalankan sesi konsultasi dan perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh mengenai RUU IPCMC tersebut, yang dijalankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio hal ehwal undang-undang, Datuk Liew Vui Keong.

Saya sendiri hadir dalam suatu sesi konsultasi tersebut bersama-sama dengan beberapa pertubuhan hak asasi manusia, ahli Parlimen dan juga Suhakam. Banyak syor pindaan dan isu-isu yang telah dibangkitkan mengenai klausa-klausa dalam RUU tersebut.

Walaupun saya sendiri berpendapat bahawa RUU IPCMC itu adalah lebih baik daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang sedia ada dalam beberapa aspek, tetapi pihak berkepentingan dan pemegang taruh telah membangkitkan perkara-perkara yang wajar dilihat semula oleh pihak Kerajaan.

Pada masa ini, RUU IPCMC masih boleh diperbaiki lagi. Saya berharap bahawa pihak kerajaan akan mengambil kira segala yang dibangkitkan oleh pemegang taruh dalam sesi-sesi konsultasi tersebut dan penambahbaikan sewajarnya akan dibuat.

Kerajaan masih mempunyai masa sehingga RUU itu dibahaskan untuk kali kedua di Dewan Rakyat semasa persidangan Parlimen yang akan bersambung pada bulan Oktober kelak.

Hanya melalui proses konsultasi dan maklum balas yang sedang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini, barulah kita akhirnya akan berjaya mewujudkan sebuah badan pemantau yang benar-benar berkesan, sejak 14 tahun selepas ia mula dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!