Kita bukannya kebal sangat
A
A
A
Persoalannya, adakah seseorang itu yang kebal akan tetap kebal selamanya?. Apa yang jelas, kereta kebal pun sudah tidak kebal lagi walaupun secanggih mana teknologi digunakan untuk menjadikan kereta tersebut kebal. Ini kerana secanggih itu jugalah teknologi diciptakan untuk memusnahkan kereta kebal tersebut. Ini bermakna, dari segi konteksnya istilah kebal bukanlah kebal untuk selamanya, sebaliknya akan sampai masanya boleh rosak, musnah dan hancur.
Sebetulnya, sifat kebal ini terdapat dalam pelbagai perspektif. Salah satunya ialah bersifat kebal dari sudut tindakan atau perbuatan. Sebagai contoh, Jika di jalan raya, ramai sungguh yang merasakan kebal dengan melanggar segala peraturan jalan raya. Jika di tempat kerja, masih ramai yang merasa kebal kerana menganggap dirinya senior dan berkedudukan tinggi.
Jika di organisasi kerajaan, masih ramai yang merasakan kebal dengan jawatan mereka sehingga membudayakan sikap kurang mesra terhadap pelanggannya. Begitu juga dengan ahli politik yang masih rasa kebal dengan jawatannya sehingga lupa pada kuasa rakyat.
Selain itu, ada juga yang cuba menjadikannya kebal dari segi penguasaan emosi dan pemikiran. Walaupun mereka sedih namun tidak mahu ditunjukkan kesedihan itu pada orang lain. Begitu juga sewaktu susah, tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain. Walaupun sepintas lalu mereka nampak hebat dan kuat, namun apa yang ada dalam hati dan pemikirannya hanya ALLAH sahaja yang tahu.
Di samping itu, masih ramai yang rasa kebal dengan kesihatan dirinya. Walaupun banyak makan dan kurang bersenam serta terlibat dengan aktiviti luar namun masih merasakan dirinya sihat. Natijahnya, gejala makan, bersantai dan berhibur sudah menjadi amalan biasa. Walaupun lewat malam, mereka masih meneruskan amalan makan-makan sambil bersantai.
Berganti-ganti puntung rokok sudah menjadi kebiasaan. Pendek kata, tabiat sebegini bukannya terjadi untuk sehari dua namun berterusan bertahun-tahun sehinggalah mereka ditunjukkan kuasa ‘kekebalan’ dengan tersungkur rebah kerana masalah jantung.
Sebetulnya apa yang dinyatakan di atas adalah sebahagian contoh individu yang merasakan dirinya kebal. Hakikatnya, masih ramai yang merasakan kebal dengan kekayaan, ketinggian pangkat dan kedudukan serta ketinggian ilmunya. Pendek kata, mereka yang ‘kebal’ ini berkongsi ciri dan sikap yang sama iaitu; mereka adalah hebat dan sukar menerima teguran.
Pada hari ini, sikap masyarakat yang tidak boleh ditegur kerana mereka ‘kebal’ adalah begitu ketara sekali. Teguran atas kesalahan mereka baik secara langsung ataupun menerusi media sosial dibalasnya dengan caci dan nista. Apatah lagi masyarakat biasa, mufti sendiri pun diganyang juga jika teguran tersebut tidak memihak kepadanya.
Jika di media sosial, gejala mencaci dan menghina ini lebih serius kerana mereka merasakan diri tidak dikenali, sukar dicari dan payah untuk dipantau. Pendek kata, mereka hanya pandai ‘melempar batu tapi sembunyikan tangan’. Namun ingatlah, ‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua”.
Sesungguhnya, kita seharusnya jangan menjadi bangsa yang tidak boleh ditegur kerana boleh merosakkan negara dalam jangka masa panjang. Saya percaya ramai dalam kalangan masyarakat kita yang pernah melancong ke negara-negara sedang membangun. Lihatlah sikap rakyat negara mereka, kerana tidak boleh ditegurlah mereka sudah tidak takut kepada pihak penguasa.
Apa yang ketara, di jalan raya sudah hampir tiada lagi undang-undang dan peraturan, kebersihan bandar begitu teruk sekali, kemudahan awam sudah tidak terjaga dan sikap berebut-rebut serta agresif ditunjukkan dalam pelbagai medium. Natijahnya kekerasan terpaksa digunakan untuk menundukkan rakyat yang ‘kebal’ ini.
Berkaitan hal ini, ALLAH telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia ALLAH dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi ALLAH membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah ALLAH Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” (QS An-Nur 24:21).
Adalah jelas, kita sebenarnya ‘kebal’ kerana limpah kurnia dan rahmat daripada ALLAH. Saya percaya ramai dalam kalangan kita yang tahu akan hal ini, namun dek kerana pengaruh syaitan, kita tunduk kepada nafsu jahat yang ada dalam diri. Sempena tahun baharu ini, gandakan lagi usaha kita untuk bermujahadah melawan nafsu. Ingatlah!. Nikmat dunia yang menjadi rebutan ini hanyalah setitis air yang melekat di jari berbanding dengan nikmat akhirat seluas lautan. Insaflah.
*Prof Madya Dr Huzili Hussin
Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi
Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!