300 peminat teruja tonton Grand Prix MotoGP secara 'live'

Shairan Huzaini (duduk, kanan) bersama peminat teruja menyaksikan perlumbaan Grand Prix MotoGP dari Litar Silverstone, Britain di Restoran Lepak Luu, di sini malam tadi.
Shairan Huzaini (duduk, kanan) bersama peminat teruja menyaksikan perlumbaan Grand Prix MotoGP dari Litar Silverstone, Britain di Restoran Lepak Luu, di sini malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 300 peminat teruja menonton perlumbaan Grand Prix MotoGP secara langsung dari Litar Silverstone, Britain yang dianjurkan Shell Malaysia di Restoran Lepak Luu, di sini malam tadi.

Program itu turut menyediakan pelbagai acara dan aktiviti buat peminat bagi merebut hadiah menarik.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzaini Husain berkata, program berkenaan merupakan julung-julung kali diadakan di luar Lembah Klang selepas kira-kira 10 tahun pihaknya menjadi penaja bersama penganjuran perlumbaan MotoGP Malaysia.

"Kuantan menjadi lokasi pertama dalam siri jelajah tahun ini bagi memberi kepuasan kepada peminat MotoGP yang banyak menyokong Shell selama ini.

"Saya bersyukur kerana sambutan amat menggalakkan dan kita akan bawa program seperti ini kepada peminat setia MotoGP dari Utara dan Selatan tanah air tidak lama lagi.

"Kita percaya program anjuran Shell dengan kerjasama rakan strategik kami yang lain seperti Ducati Malaysia, Next Bike Sdn Bhd dan banyak lagi, merupakan langkah tepat untuk membawa pengalaman menyaksikan perlumbaan MotoGP dalam suasana santai bersama peminat di seluruh negara," katanya ketika ditemui media, di sini malam tadi.

Shairan Huzaini berkata, pihaknya turut melancarkan program Shell Biker Chop Chop bagi memudahkan peminat mendapatkan tiket perlumbaan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung awal November ini.

Menurutnya, pihaknya maklum bahawa tiket perlumbaan tersebut mahal dan mengambil inisiatif ini bagi memberi peluang kepada peminat untuk menonton perlumbaan tersebut di Malaysia pada November ini.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh mendapatkan tiket (perlumbaan) MotoGP pada harga istimewa apabila membuat pembelian produk keluar Shell.

"Program Chop Chop menggunakan aplikasi WeChat ini adalah tanda penghargaan kami kepada peminat serta penyokong kami.

"Kita harap usaha ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadualkan pada 1 hingga 3 November depan," katanya.

Perlumbaan itu menyaksikan pelumba Suzuki, Alex Rins memenangi Grand Prix (GP) British penuh dramatik yang menyaksikan pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez hanya dipisahkan 0.013 saat di garisan penamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!