UAE dikecam beri anugerah tertinggi kepada PM India
ABU DHABI - Kumpulan penentang popular di wilayah Kashmir yang ditadbir India menyelar Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana memberi anugerah kehormatan awam tertinggi kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika lawatan beliau ke negara itu, Sabtu lalu.
Mereka menyifatkan tindakan penganugerahan 'Order of Zayed' itu sebagai sangat mengecewakan penduduk Kashmir dan tidak menggambarkan 'kehendak rakyat UAE'.
"Ia memalukan seluruh komuniti Muslim," kata jurucakap All Parties Hurriyat Conference (APHC) terdiri daripada puluhan kumpulan politik mencabar kedaulatan India ke atas wilayah yang menjadi pertikaian itu.
Menurutnya, anugerah itu diberikan sebuah negara monarki dan ia tidak mencerminkan suara rakyat UAE.
"Kami menggesa negara demokrasi seperti Malaysia dan Turki campur tangan dalam isu Kashmir," kata Sayied Abdullah Geelani.
Difahamkan, UAE bergantung kepada pasaran pengguna yang berkembang pesat di India selain sumber tenaga buruh yang menyumbang kepada ekonomi negara itu.
Keputusan unilateral India memansuhkan status khas autonomi di Kashmir seperti terkandung dalam Artikel 370 pada awal bulan lalu turut mencetuskan kemarahan Pakistan yang berikrar untuk membawa perkara itu ke peringkat antarabangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!