Benarkah jelmaan Lady in White muncul di Carcosa?

Pelbagai kisah mistik menyelubungi bangunan Carcosa yang berusia lebih 100 tahun termasuk kisah Lady in White. - Foto ZAHID IZZANI
Pelbagai kisah mistik menyelubungi bangunan Carcosa yang berusia lebih 100 tahun termasuk kisah Lady in White. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rumah agam berusia lebih 100 tahun, Carcosa Seri Negara dikhabarkan memiliki kisah mistik tersendiri berdasarkan percakapan oleh pengkaji serta pekerja yang pernah bertugas di bangunan itu.

Presiden Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia, Datuk Hajeedar Abdul Majid berkata, antaranya ialah kisah Lady in White iaitu jelmaan wanita yang didakwa berdiri di atas tangga utama selain dikatakan berlegar-legar dalam banglo mewah tersebut.

Bagaimanapun, arkitek terkenal tersebut yang mengubah suai rumah agam bersejarah itu pada tahun 1989 mengakui beliau tidak pernah melihat jelmaan itu dengan mata kepala sendiri namun pernah merasai kehadiran hembusan angin kuat dalam bangunan lama itu sebelum kerja baik pulih dibuat dulu.

“Saya tidak pernah melihatnya (jelmaan wanita). Cuma saya bersama dua pekerja pernah merasai peristiwa angin menderu kuat dari dalam bangunan itu. Bagaimanapun, saya lihat keadaan dalam bangunan tenang, cuma berhabuk dan ada tingkap yang terbuka. Secara tiba-tiba suhu dalam bangunan berubah dingin, walaupun cuaca di luar bangunan panas ketika itu.

“Sewaktu kami menaiki tangga, kami terkejut sewaktu terdengar bunyi kuat pintu utama bangunan itu tiba-tiba tertutup sendiri. Kami berasa begitu pelik kerana tiada kehadiran angin pada masa itu,” katanya menceritakan antara kenangan sewaktu terlibat mengubah suai Carcosa dahulu.

Bagaimanapun, menurut Hajeedar, beliau mengetahui mengenai bualan mulut ramai individu yang mendakwa konon jelmaan wanita berpakaian putih itu adalah mirip Sydney, isteri Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu iaitu Sir Frank Swettenham yang mendiami rumah agam tersebut.

Itulah serba sedikit kisah Carcosa Seri Negara. Carcosa dan Seri Negara ialah dua bangunan berbeza tetapi mempunyai nilai sejarah kerana ia berkaitan peristiwa kemerdekaan negara pada 1957.

Seni bina bangunan tersebut adalah bercirikan Inggeris iaitu Neo Gothic dan Tudor dan menurut pendapat pengkaji, konsep berkenaan telah dipilih sendiri oleh Frank Swettenham.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Carcosa Seri Negara bakal lenyap

‘Carcosa makin buruk sejak kami keluar’

Arkitek sedia ubah suai Carcosa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!