Selamat Tahun Baharu 2019...

A
A
A
*BELUMterlambat untuk saya mengucapkan Krismas kepada kawan-kawan beragama Kristian, khasnya untuk jiran yang semakin lanjut usia.

Sejak berjiran lebih 20 tahun – sebelah kanan Cina, sebelah kiri India – saya sekeluarga akan mengucapkan Krismas tiap kali tiba perayaan itu.

Anak-anak saya akan menerima berbagai hadiah yang ‘dipetik’ dari pokok Krismas di rumah jiran. Sekarang tidak ada hadiah lagi sebab semua anak sudah besar. Apabila tiba Aidilfitri jiran-jiran yang datang ke rumah akan bersalaman dan mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’, sambil makan ketupat, rendang dan masalode.

Sejak sekian lama kami berbaik sesama jiran tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik mereka. Kami saling menghormati, saling membantu. Dan, saling mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’, ‘Gong Xi Fa Cai’, ‘Happy Deepavali’, ‘Merry Christmas’...

*KETUA Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi melarang umat Islam membuat ucapan Krismas kerana itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Kenyataan Khalil yang juga anak Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyebut bahawa merayakan Krismas adalah mensyirikkan ALLAH.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan tetap mengutus dan membuat ucapan Krismas kepada kawan-kawan beliau.

Maka orang kuat DAP Lim Kit Siang bertanya: larangan Khalil itu pendirian Pas atau pendirian peribadi? Mungkin Tuan Guru Hadi dapat menjelaskan.

*MENGENAI Hadi dan Muhammad Khalil kedua beranak ini ada ketikanya macam bercanggah pandangan. Terkini Khalil kata Pas dan Umno mesti bekerjasama demi kepentingan Melayu dan Islam.
Artikel Berkaitan:


Kata si anak seperti yang dipetik Harakahdaily: “Kita Pas orang Islam, orang Umno orang Islam, maka kita mestilah bersama-sama...”

Tetapi si ayah macam tidak suka lagi dengan Umno. Dalam satu dialog dengan rakyat Malaysia di Dublin, Ireland, beliau berkata partinya tidak akan bergabung dengan Umno.

Presiden Pas itu dipetik sebagai berkata: “Umno ibarat bahtera yang telah bocor yang boleh merosakkan parti Islam itu sekiranya mereka bersama...”

Dalam pada itu Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi pendapatnya bahawa “Umno sudah tiada masa depan dalam politik dan lebih elok dibubarkan.”

*SEBENARNYA cakap-cakap mengenai Pas hendak bersatu dengan Umno sudah lama kedengaran, tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Istilahnya macam-macam – berkawan, bekerjasama, berganding bahu, bersatu, bergabung – tetapi semua hanya acah-acah yang tidak menjadi kenyataan.

Sebab itu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa meminta semua pihak termasuk pemimpin Pas untuk tidak bercakap soal bergabung dengan Umno. Sebagai reaksi kepada kenyataan Mohd Amar, Annuar menegaskan: “perkara itu (bekerjasama) tidak pernah berbangkit.”

Selepas ini jika ada kedengaran mana-mana pihak berkata mengenai kerjasama Pas-Umno, anggaplah itu satu lagi siri realiti TV ‘Maharaja Lawak’.

*PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah ditangkap polis Rabu lalu untuk disiasat berhubung ucapannya pada satu perhimpunan di Klang.

Dalam ucapan yang ‘berapi-api’ pemimpin NGO itu menggunakan perkataan yang menghina Menteri Perpaduan P Waythamoorthy.

Beliau juga mengugut akan menyerang Balai Polis Klang sekiranya polis tidak bertindak mencari siapakah yang bertanggungjawab dalam kes kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ramai bersetuju dengan ketegasan polis menangkap mana-mana pihak yang suka mengugut dan menghina. Tetapi jangan hanya Azwanddin, sebab di luar sana ada ramai lagi – termasuk pemimpin parti – yang tidak habis-habis menghasut, menghina, menyebarkan kebencian, macam-macam. Polis juga patut menangkap dan menyiasat mereka!

*AKHIR kalam, sehari dua lagi tertutuplah tirai 2018 yang penuh bersejarah itu, dan selamat datang tahun baharu 2019.

2018 kita melihat pelbagai kes rasuah mega RM berbilion melibatkan individu-individu tersohor negara. Maka 2019 umum ingin melihat semua penyangak itu dihukum.

Ada janji kerajaan bahawa mulai hari pertama tahun baharu semua premis dan tempat makan awam di seluruh negara, akan menjadi kawasan larangan merokok. Maka pastikan janji tersebut tidak akan diubah pada saat akhir; jangan ada ‘U-Turn’ lagi, sebab tahun 2018 juga terkenal dengan sekian banyak ‘U-Turn’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!