Sembilan mangsa bot rosak tengah laut diselamatkan

Enam mangsa bot persendirian yang diselamatkan APMM Zon Kuala Kedah. (Gambar kecil, Bot persendirian dinaiki enam lelaki yang rosak ditengah laut.)
Enam mangsa bot persendirian yang diselamatkan APMM Zon Kuala Kedah. (Gambar kecil, Bot persendirian dinaiki enam lelaki yang rosak ditengah laut.)
A
A
A

KUALA KEDAH - [DIKEMASKINI] Sembilan mangsa berdepan detik cemas dilambung ombak di tengah laut apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan dan hampir karam akibat cuaca buruk, Sabtu lalu.

Bot persendirian dinaiki enam lelaki dan sebuah bot bersama tiga nelayan bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah, di perairan Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dalam dua kejadian berasingan itu, pihaknya menerima aduan pertama memaklumkan sebuah bot persendirian menjalankan aktiviti riadah dinaiki enam lelaki mengalami kerosakan di bahagian enjin, pada jarak 4.0 batu nautika Kuala Kedah.

“Sebuah bot Zon Maritim Kuala Kedah segera diarahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

"Ketika dalam perjalanan menuju ke lokasi bot itu, secara kebetulan bot peronda menemui bot nelayan yang turut mengalami kerosakan pada jarak 3.0 batu nautika dari muara Kuala Kedah,” katanya.

Menurutnya, bot dinaiki tiga nelayan itu hampir karam kerana dipukul ombak, dan mangsa bernasib baik kerana segera ditemui.

“Kesemua nelayan itu warga tempatan berusia antara 24 hingga 37 tahun. Anggota bot peronda segera memindahkan mangsa dan membawa mereka ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

Mahmad Faizal berkata, selepas menyelamatkan kesemua nelayan, bot peronda kembali semula ke laut berdepan cuaca buruk dan meneruskan perjalanan ke lokasi bot persendirian.

Artikel Berkaitan:

“Mereka mengambil masa selama 20 minit untuk tiba ke lokasi bot persendirian. Kesemua enam mangsa warganegara tempatan berusia antara 37 hingga 41 tahun ditemui dalam keadaan keletihan,” katanya.

Menurutnya, kesemua sembilan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya keletihan setelah lama berada di laut.

“Saya harap orang ramai yang melakukan sebarang aktiviti di laut sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan. Mereka boleh adukan kejadian kecemasan di laut melalui talian MERS 999 Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, di talian 04-7310579,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!