'Status PR pun tidak terlepas undang-undang negara'
KUALA LUMPUR - Sesiapa yang menyentuh sensitiviti kaum sehingga mencetus ketidakstabilan negara tidak akan terlepas daripada undang-undang negara, termasuk mereka yang mendapat status Pemastautin Tetap (PR).
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya warganegara tertakluk kepada undang-undang, mereka yang berstatus PR lebih-lebih lagi perlu patuh kerana taraf PR dianggap sebagai satu anugerah.
"Dr Zakir Naik sama semua. Ada masyarakat Islam nak pertahan dia, betul, dia seorang penceramah dan tokoh (Islam) tetapi kalau dia sentuh hal-hal tertentu macam sekarang, kita tak boleh biar juga. Kalau sebab itu tercetus keadaan ketidakstabilan kerana rasa tidak puas hati yang merebak meluas, adakah kita nak berdiam diri.
"Ada sempadan yang dia harus patuh, sama ada PR atau warganegara, dia tak terkecuali, tak mengatasi undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan dalam Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan polis terhadap penceramah bebas warganegara India, Zakir yang dilapor membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, kerajaan sedang dalam proses penyediaan Pelan Tindakan Nasional (NAP) bagi aspek PCVE.
"Kami akan merujuk beberapa panduan yang ditetapkan badan antarabangsa supaya ada keseragaman terhadap NAP dan kami nak ambil pengalaman terhadap apa yang berlaku terlebih dahulu.
"Kerajaan sedang berbincang dan belum diputuskan (pelaksanaannya) kerana melibatkan pelbagai agensi bukan KDN (Kementerian Dalam Negeri) sahaja. Resolusi dalam seminar PCVE mungkin dapat membantu ke arah penyediaannya," katanya.
Muhyiddin berkata, pihaknya juga tidak menetapkan tempoh masa bila ia akan dilaksanakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!