Bantah jual arak secara terbuka

Ahmad Fadzli (tiga, kanan) menyerahkan memorandum bantahan penjualan minuman keras secara terbuka di sebuah pasar raya.
Ahmad Fadzli (tiga, kanan) menyerahkan memorandum bantahan penjualan minuman keras secara terbuka di sebuah pasar raya.
A
A
A
SUNGAI PETANI - Premis yang menjual minuman keras khususnya pasar raya diminta agar lebih prihatin terhadap sensitiviti umat Islam dengan tidak menjual minuman itu secara terbuka.

Adun Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim berkata, pengurusan pasar raya hendaklah menghormati perasaan orang Islam dengan menyediakan satu ruangan khas untuk penjualan minuman keras, selain elakkan dipamer secara terbuka.

Sehubungan itu, pihaknya dengan kerjasama Lajnah Pengguna Pas Kawasan Sungai Petani dan Pertubuhan Masyarakat Prihatin Sungai Petani (PMPSP) menghantar memorandum bantahan penjualan minuman keras secara terbuka di sebuah pasar raya di bandar itu, semalam.

“Kami bantah atas beberapa faktor antaranya, penjualan minuman keras mestilah dikawal selia dan mempunyai notis yang mencukupi kepada orang Islam. Ini berdasarkan Enakmen Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah) 2014,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, Pas Kawasan Sungai Petani dan NGO terlibat akan sentiasa memantau aktiviti penjualan minuman keras di semua pasar raya dan premis yang difikirkan tidak sesuai.

“Kami akan terus bantah tindakan yang tidak menghormati sensitiviti dan perasaan orang Islam melalui peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Enakmen Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah) 2014,” katanya.

Menurutnya, pasar raya yang ingin mengadakan jualan minuman keras kepada bukan Islam diharap mengambil kira faktor yang boleh memberi implikasi tidak baik kepada pihak lain.

“Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, hendaklah menghormati agama Islam sebagai agama rasmi seperti diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia,” katanya.

Hadir sama ketika penyerahan memorandum, Pengerusi Lajnah Pengguna Pas Kawasan Sungai Petani, Abd Salim Alias Khan serta Pengerusi PMPSP, Mohd Haikal Abdul Mutalib.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!