Macau Scam: Pesara universiti rugi RM105,000
BAYAN BARU - Seorang pesara pegawai penyelidik sebuah universiti tempatan di sini mengalami kerugian sebanyak RM105,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 59 tahun itu mendakwa dia dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai dari sebuah syarikat telekomunikasi.
Menurutnya, dia dihubungi melalui telefon rumahnya ketika berada di rumah di Persiaran Mayang Pasir di sini pada jam 12 tengah hari, 21 Ogos lalu.
"Mangsa mendakwa wanita tersebut memberitahu bahawa nama mangsa telah digunakan untuk memohon akaun internet bagi kegunaan pengubahan wang haram.
"Wanita tersebut kemudian menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
"Lelaki tersebut memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan jenayah berat dan waran telah dikeluarkan di atas namanya. Lelaki itu juga memberi amaran kepada mangsa agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa jika tidak mahu ditangkap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anbalagan berkata, pada jam 1.30 petang hari yang sama, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Zahari dari Ibu Pejabat Polis Pahang.
"Lelaki tersebut meminta mangsa membuat transaksi sebanyak RM30,000 dan mengikut semua arahannya.
"Mangsa yang ketakutan telah membuat transaksi tersebut pada hari sama kira-kira jam 4.30 petang di sebuah bank di Jalan Tengah di sini
"Pada keesokan harinya, mangsa sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM4,900. Mangsa mendakwa telah membuat beberapa kali transaksi ke akaun yang sama sehingga mengalami kerugian sebanyak RM105,000," katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya mengetahui dirinya ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada rakannya semalam sebelum membuat laporan polis.
"Lebih menyedihkan, mangsa mengeluarkan wang pencennya untuk memindahkan kepada sindiket berkenaan.
"Siasatan awal mendapati, sindiket ini memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai panggilan tersebut selain kononnya akan menghantar surat waran tangkap melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!