Kebakaran hutan di Gelang Patah, bomba hadapi kesukaran
JOHOR BAHRU - Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kampung Pekajang, Gelang Patah di sini mengalami sedikit kesulitan berikutan bekalan air yang tidak mencukupi.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun perkara itu sedang diatasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dengan tambahan pam air dari Batu Pahat.
"Bomba kini sedang berusaha memadamkan api di bahagian atas dan bawah tanah menggunakan bekalan air yang terhad.
"Namun kita juga sudah terima dua pam air tambahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang baru sampai dari Batu Pahat tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkefly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, keadaan kebakaran di kawasan itu dijangka dapat diatasi dalam tempoh terdekat memandangkan kerja-kerja membuat parit bagi menghalang api merebak hampir selesai.
Justeru katanya, penduduk kampung berhampiran kawasan berkenaan dinasihatkan tidak perlu bimbang dan panik kerana api sudah dikepung.
"Saya difahamkan, kerja-kerja mengorek 'fire breaker' berbentuk parit yang diisi air di sekeliling kawasan kebakaran sudah hampir selesai.
"Untuk operasi ini, kira-kira 154 petugas daripada 11 pihak dan agensi berkaitan telah terlibat," katanya.
Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai titah Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu sekolah berhampiran kawasan berkenaan ditutup adalah disebabkan oleh bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang kurang sihat.
Dzulkefly yang turut sama mengiringi Tunku Ismail ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang hari ini memaklumkan, bacaan IPU direkodkan adalah 81 berbanding 68 yang dicatatkan semalam.
Populasi penduduk yang mendiami Kampung Pekajang adalah seramai 517 orang manakala di Kampung Tanjung Adang pula seramai 447 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!