CEFR pertama melalui kertas bahasa Inggeris PT3

Dr Amin menyampaikan taklimat di Kementerian Pelajaran hari ini berkenaan usaha sama Kementerian Pendidikan dan Cambridge English untuk meningkatkan pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia. - Foto Bernama
Dr Amin menyampaikan taklimat di Kementerian Pelajaran hari ini berkenaan usaha sama Kementerian Pendidikan dan Cambridge English untuk meningkatkan pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan melaksanakan pentaksiran sejajar Common European Framework of Reference For Language (CEFR) pertama di peringkat Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada penghujung 2019.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, menjelang tahun 2025 semua pelajar akan menamatkan pendidikan Tingkatan Lima dengan sekurang-kurangnya berada di tahap penguasaan B1.

Menurutnya, para pelajar bakal mendapat pendidikan mengikut standard antarabangsa iaitu satu penjajaran kepada CEFR secara menyeluruh.

"Ini akan diikuti di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021 dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2022.

"Untuk tujuan penjajaran ini, Cambridge English (CE) telah bekerjasama dengan KPM sejak tahun 2016 dan berakhir pada tahun 2020, namun pelaksanaan transformasi pendidikan bahasa Inggeris akan diteruskan ke arah mencapai matlamat aspirasi," katanya pada Sidang Media Usahasama KPM dan Cambridge English untuk meningkatkan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia, di sini hari ini.

Amin berkata, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) turut memastikan kandungan latihan praperkhidmatan yang melahirkan bakal guru bahasa Inggeris selaras dengan keperluan kurikulum.

Menurutnya, guru bahasa Inggeris itu perlu berada pada tahap penguasaan sekurang-kurangnya C1 dan mempunyai konpetensi pedagogi yang baik.

"KPM memerlukan satu pelan yang bersifat menyeluruh dan merangkumi pendidikan bahasa Inggeris bermula peringkat asas iaitu prasekolah hingga ke peringkat tinggi termasuk program latihan guru.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan meningkatkan mutu bahasa Inggeris selain memastikan semua pelajar yang menamatkan pengalaman persekolahan akan memperoleh tahap kemahiran bahasa Inggeris yang membantu mereka berkomunikasi dengan baik dan bersaing dalam pasaran pekerjaan sama ada dalam atau luar negara," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian sedang membangunkan kapasiti kepakaran bagi menjana pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti yang dijajarkan menerusi CEFR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!