Tanah runtuh: Pengarah projek mengaku tidak bersalah

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pengarah projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan pekerja asing Oktober lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat.

Lai Sin Kian, 58, didakwa sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada jam 1.56 tengah hari hingga 6 petang, 19 Oktober lalu mengakibatkan sembilan orang maut.

Sin Kian, 58, didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim Mazdi Abdul Hamid yang mendengar pertuduhan itu meminta pihak pendakwaan menyemak semula pertuduhan yang dihadapi oleh pengarah projek itu berikutan terdapat percanggahan waktu pada masa kejadian tanah runtuh tersebut dan masa pertuduhan yang dihadapi Sin Kian.

“Mengapa masa kejadian itu dari 1.56 tengah hari hingga 6 petang dalam pertuduhan? Adakah insiden berlaku pada 1.56 tengah hari atau 6 petang? Garis masa ini mungkin menjejaskan pembelaan Sin Kian.

"Sekiranya jam 6 petang ia tiada kena mengena dengan kejadian yang mengakibatkan sembilan nyawa maut ini. Masa sepatutnya adalah pada jam 1.56 tengah hari sama dengan insiden berlaku. Saya berikan masa untuk pihak pendakwaan meminda pertuduhan ini," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, Norliza Abu Othman berkata, masa kejadian adalah jam 1.56 tengah hari masa siasatan bermula pada jam 6 petang.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September ini bagi pindaan pertuduhan masa bagi kes membabitkan Sin Kian yang diwakili peguam S Kanesh - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!