Pelaburan Negeri Sembilan meningkat 103 peratus: Exco

Dr Mohamad Rafie ketika menjawab soalan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.
Dr Mohamad Rafie ketika menjawab soalan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Prestasi pelaburan Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan jumlah pelaburan RM2.86 bilion pada tahun lalu, meningkat 103 peratus berbanding RM1.41 bilion pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan-PH) berkata, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan tertinggi sebanyak RM2.43 bilion pada tahun 2018 sekaligus menunjukkan peningkatan 119 peratus berbanding RM1.11 bilion yang diraih tahun sebelumnya.

Menurutnya, jumlah pelaburan sektor perkhidmatan pula sebanyak RM430 juta berbanding RM303 juta pada 2017 iaitu meningkat 42 peratus.

"Kerajaan negeri terus komited untuk memastikan pembangunan negeri seiring dengan matlamat negeri maju antaranya melalui Perbadanan Negeri Sembilan (NS) melalui Enakmen Perbadanan NS Tahun 2018.

"Perbadanan NS akan memainkan peranannya dengan memberikan tumpuan menggalakkan pelaburan ke negeri ini berdasarkan pelan pembangunan yang telah dirancang.

"Mereka juga akan mengkaji dan menarik pelaburan yang berpotensi dan boleh memberi manfaat kepada rakyat terutama mewujudkan pekerjaan serta menambahkan pendapatan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau), pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata bagi perancangan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) yang telah dikemaskini, Perbadanan NS akan bertindak sebagai agensi pusat bersama pemaju dalam memastikan MVV 2.0 dilaksanakan sebagaimana dirancang dan menjadi katalis kepada pembangunan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada masa sama perancangan menyeluruh di daerah lain turut dilaksanakan untuk menarik pelabur dan memastikan pembangunan seimbang di seluruh negeri.

Menyentuh mengenai peranan kerajaan menangani kelembapan ekonomi pada masa ini terutama dalam membantu petani yang terjejas akibat kejatuhan harga bahan komoditi, beliau berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

"Bantuan disediakan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada 2019 berjumlah RM9.92 juta merangkumi projek penanaman semula getah berjumlah RM5.89 juta, prasarana asas pertanian (RM2.038 juta), keusahawanan aktiviti ekonomi tambahan (RM900,000), program peningkatan produktiviti dan pemasaran (RM1.09 juta) serta lain aktiviti.

"Manakala Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan harga komoditi kelapa sawit.

"Langkah jangka panjang pula termasuk memperkukuhkan pasaran eksport sedia ada serta menembusi pasaran baharu, meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menjadikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai mandatori pada Disember 2019," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!