Pejabat MB, Ketua Menteri digesa tubuh unit integriti
KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negeri menubuhkan unit integriti bagi memastikan setiap urusan yang dilakukan lebih telus.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, penubuhan unit integriti itu telah dimulakan oleh kerajaan Sarawak dengan diketuai pegawai integriti bertauliah (CEIO) di semua kementerian dan jabatan kerajaan negeri termasuk badan-badan berkanun negeri.
“Semua aduan rasuah melibatkan kepentingan awam adalah serius sama ada nilai itu kecil atau besar.
“Kita harap negeri lain dapat mengambil contoh apa yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak supaya dapat mengelak berlakunya sebarang tohmahan dan memulakan setiap proses dengan lebih telus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Latheefa berkata, kerajaan negeri lebih terdedah kepada rasuah berbanding di peringkat kerajaan Persekutuan.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan kerajaan Pusat, kerajaan negeri lebih banyak jalan masuk (access) dengan sumber (resources) sama ada pembalakan, tanah dan sebagainya.
“Potensi untuk terdedah kepada perkara yang membawa kepada rasuah lebih besar di peringkat negeri. Jadi, kami harap kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan mengambil langkah bagi mengelak berlakunya jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Letheefa turut mengulangi saranan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap negeri mengisytiharkan harta masing-masing.
“Semua negeri perlu menyahut saranan ini tidak kira negeri diterajui parti kerajaan atau pembangkang. Setakat ini hanya Perak yang telah meluluskan usul untuk mewajibkan setiap ADUN mengisytiharkan harta.
“Kita harap Kerajaan Terengganu juga akan membuat keputusan yang sama iaitu meluluskan usul untuk setiap wakil rakyat mengisytiharkan harta.
"Kita tunggu mereka bentang perkara ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Perak menjadi negeri pertama mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat dalam akuan berkanun kepada Speaker DUN dan SPRM.
Usul bagi tujuan itu diluluskan pada persidangan DUN Perak pada 23 Julai lalu selepas dibawa dan dibentangkan oleh Terence Naidu Raja Naidu (PH-Pasir Berdamar) dan kemudian dibahaskan oleh 10 ADUN lain sebelum dilulus dengan undian suara.
Langkah itu menyusul tiga minggu selepas Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!