Kebakaran hutan di Gelang Patah babitkan tanah milik persendirian
JOHOR BAHRU - Kebakaran kawasan hutan seluas 16 hektar di Kampung Pekajang, Gelang Patah di sini sejak Rabu lalu membabitkan tanak milik persendirian berstatus pertanian.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, semakan mendapati ia tidak melibatkan rizab hutan atau tanah kerajaan negeri.
“Ketika ini pelbagai agensi sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Persimpangan Bertingkat Kempas di Taman Setia Tropika di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan, Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.
Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri dalam masa sama, mengambil maklum dan menjunjung kasih saranan Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menitahkan supaya sekolah di kawasan berkenaan ditutup sementara demi kesihatan para pelajar.
Beliau berkata, pusat pentadbiran kerajaan Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri juga akan terus beroperasi seperti biasa walaupun keadaan di sekitarnya berjerebu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran hutan: JAS cadang dua sekolah ditutup
Sementara itu, mengenai Persimpangan Bertingkat Kempas yang membabitkan kerja menaik taraf persimpangan bertingkat Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Jalan Kempas Lama (J105) itu, Dr Sahruddin berkata, ia menelan kos sebanyak RM39.7 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.
Projek tersebut adalah sebahagian daripada perancangan IRDA bagi melancarkan aliran trafik dari dan ke pusat bandar raya Johor Bahru - Kuala Lumpur - Kempas - Seelong dan kawasan sekitarnya.
“Saya dan IRDA sudah mengadakan taklimat dan pecah tanah, maka, kita harap projek ini akan disiapkan mengikut jadualnya iaitu 18 bulan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!