Lelaki ditipu RM53,900 oleh 'kenalan lama'

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang ejen unit amanah mengalami kerugian sebanyak RM53,900 gara-gara tertipu dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai kenalan lama semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 39 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kenalan lama.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang lelaki pada mulanya berasa pelik memandangkan nombor telefon rakan lamanya itu berlainan dari sebelumnya.

"Bagaimanapun, mangsa diyakinkan oleh lelaki itu bahawa nombor telefon lamanya telah hilang bersama barangan peribadi termasuk kad ATM dan kad pengenalan.

Lelaki itu kemudiannya meminta bantuan untuk meminjam sejumlah wang dari mangsa kerana menghadapi masalah dalam perniagannya.

"Kerana mempercayai rakan lamanya itu, tanpa berfikir panjang, mangsa telah membuat tujuh transaksi ke akaun bank kononnya milik rakan perniagaan lelaki tersebut.

"Mangsa memindahkan wang berjumlah RM 53,900 dalam sehari ke dua akaun berbeza," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, lelaki itu berjanji akan memulangkan wang mangsa pada keesokan harinya namun mangsa mendapati, tiada wang dimasukkan ke akaunnya seperti yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menceritakan hal tersebut kepada rakannya yang lain dan rakannya itu menasihatkan agar mangsa menghubungi nombor asal kenalan lamanya itu untuk mendapatkan kepastian.

"Dia sedar ditipu selepas rakan lamanya itu menegaskan langsung tidak menghubungi mangsa dalam tempoh tersebut untuk meminjam wang. Mangsa menbuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM11,500 dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam tadi.

Noorzainy berkata, mangsa yang juga peniaga dan berusia 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu bahawa mangsa mempunyai waran tangkap kerana mangsa mempunyai tunggakan kad kredit.

"Selepas berbual dengan lelaki itu, talian kononnya telah disambungkan ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka dan mangsa telah bercakap dengan pegawai polis bernama Inspektor Kamarudin.

"Pegawai penyiasat tersebut memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dan memintanya menyerahkan semua maklumat akaun bank termasuk kad ATM dan perbankan dalam talian onlinenya," katanya.

Tambahnya, lelaki itu mendakwa, kes tersebut masih dalam siasatan dan kesemua maklumat bank mangsa adalah untuk tujuan siasatan kes.

"Mangsa berbual hampir dua jam melalui telefon dan telah menyerahkan satu nombor TAC/PAC yang diterima melalui telefon bimbitnya.

"Mangsa juga menyerahkan nombor ID dan kata laluan akaun banknya kepada lelaki tersebut.

"Mangsa hanya menamatkan panggilan setelah menghubungi anaknya untuk bertanyakan maklumat akaun bank lain seperti diarahkan lelaki tersebut.

"Dia kemudiannya membuat semakan pada akaun banknya dan mendapati wang telah hilang," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu oleh sindiket Macau Scam.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!