Penggiat seni nikmati caruman KWSP, Perkeso bermula Januari 2020

Datuk Hans Issac
Datuk Hans Issac
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 30,000 penggiat seni tanah air bakal menikmati kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila dilaksanakan bermula Januari 2020.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Issac berkata, proses menyiapkan kemudahan caruman itu sudah mencapai 90 peratus.

"Apabila dilancarkan pada Oktober depan, kemudahan caruman ini akan dinikmati lebih 30,000 penggiat seni tanah air dan sekaligus nasib mereka akan lebih terbela.

“Ditambah pula, di bawah Akta Finas 1981 (Akta 244), ia membolehkan skim ini diperkenalkan kepada penggiat seni yang bekerja dalam industri termasuk jurumekap, ‘runner’ dan krew produksi,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall bersama Penggiat Industri Filem Siri 1 Kompleks Studio Merdeka Finas, di sini hari ini.

Sesi dialog itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan turut dihadiri lebih 300 penggiat seni tanah air.

Mengulas lanjut, Hans menjelaskan proses dan jumlah caruman itu bergantung kepada gaji dan polisi insurans.

“Jika gaji pekerja adalah pada tahap gaji mininum iaitu RM1,100, maka majikan mereka wajib memotong caruman. Melalui caruman ini juga, majikan tetap diwajibkan membuat caruman kepada pekerja walaupun tempoh bekerja mereka adalah singkat," katanya.

Jelas Hans, ini termasuklah di mana situasi seseorang pelakon bekerja untuk dua projek bagi sebuah produksi pada satu masa yang sama, maka produksi diwajibkan membayar caruman itu.

Artikel Berkaitan:

"Jika penerbit tidak bayar caruman itu, Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) mereka akan ditahan," katanya.

Terdahulu, skim KWSP dan Perkeso adalah antara 15 manifesto penting dalam pelan pembentangan Hans sebaik dilantik sebagai pengerusi Finas pada 8 April lalu.

Inisiatif itu adalah bagi memastikan kebajikan pemain indsutri seni tanah air terbela. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!