Malaysia ada pelapis bermentaliti juara: Azizulhasni
JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mengakui Malaysia mempunyai barisan pelapis dalam sukan itu yang mampu menyambung legasinya, atau melakar kejayaan lebih membanggakan.
Selain kagum dengan mentaliti juara yang dimiliki barisan pelumba muda, Mohd Azizulhasni yang merupakan antara prospek pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata mereka turut memiliki pakej fizikal yang baik.
Bagaimanapun, bekas juara dunia keirin itu menjelaskan dua elemen itu tidak membawa sebarang makna jika tiada pemantauan rapi dan tiada pendedahan kepada perlumbaan secukupnya sebagai platform menimba pengalaman.
"Kita ada lebih enam pelumba muda yang memang berkemahiran tinggi untuk pergi jauh dan mereka memang ada mentaliti untuk jadi juara dunia. Mereka ada kemahuan, mereka sangat berdedikasi dan berdisiplin tinggi.
"Kalau cakap dari segi saiz fizikal mereka, mereka memang mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik daripada saya dan sekarang mereka berada di tahap yang tinggi jika dibandingkan dengan saya sewaktu di usia mereka.
"Tetapi mereka kurang dari segi keyakinan jadi bagi saya mereka perlukan pendedahan lebih luas, mereka perlu berlumba dan mereka perlukan konsistensi dalam persekitaraan seperti itu," katanya ketika ditemui pemberita di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Pada hari terakhir kejohanan di Velodrom Nilai, Mohd Azizulhasni yang mewakili Terengganu merangkul emas ketiga selepas memenangi acara pecut dan 1 kilometer ujian masa semalam, dengan mengungguli acara keirin dengan kepantasan 10.924s.
Beliau menewaskan dua pelumba dari Selangor yang juga pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis (perak) sementara gangsa dimenangi Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin.
"Perlumbaan keirin hari ini agak kompetitif banyak saingan diberikan, saya bersyukur dapat raih emas ketiga terutama bila hari ini saya berasa agak lesu dan mengantuk sebab back-to-back berlumba dari minggu lepas ditambah dengan acara 1km dan pecut," tambah beliau.
Dalam pada itu, acara keirin wanita menyaksikan Fatehah Mustapa dari Terengganu meraih emas dengan kepantasan 12.009s untuk mengatasi dua pelumba Perlis - Anis Amira Rosidi (perak) dan Ju Pha Som Net yang meraih gangsa.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!