APMM tahan tekong, tiga awak-awak

Bot nelayan bersama hasil tangkapan ikan seberat lebih kurang 200 kilogram yang ditahan APMM hari ini.
Bot nelayan bersama hasil tangkapan ikan seberat lebih kurang 200 kilogram yang ditahan APMM hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tekong bersama tiga awak-awak kerana didapati melanggar syarat sah lesen perikanan dengan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, nelayan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan di bot kelas B.

Menurutnya, kesemua ditahan ketika sedang menunda pukat pada kedudukan lebih kurang 3.4 batu nautika barat daya Sungai Sanglang, Pontian sekitar jam 10.15 pagi.

"Sikap pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat sah lesen ini dikhuatiri akan merosakkan ekosistem laut sekali gus akan menjejaskan pendapatan nelayan terutama nelayan pantai.

"Bot serta nelayan yang ditahan itu dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor, Sungai Pulai untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan melanggar syarat sah lesen," katanya di sini hari ini.

Aminuddin berkata, bot nelayan terbabit selamat tiba di jeti kira-kira jam 3.30 petang bersama hasil tangkapan ikan seberat lebih kurang 200 kilogram.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada seluruh komuniti maritim untuk bersama memelihara kesejahteraan maritim bagi kelangsungan sumber laut agar dapat terus dinikmati generasi masa hadapan.

"Salurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!