Najib, Shafee dapat kebenaran cabar pelantikan Sri Ram

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam perbicaraan mereka.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat membenarkan rayuan Najib dan Muhammad Shafee untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.

“Kami sebulat suara dalam keputusan kami. Kami mendapati ada merit dalam rayuan ini. Kami berpendapat bahawa sifat dan bidang kuasa permohonan semakan kehakiman serta usul penyingkiran yang difailkan di mahkamah jenayah adalah berbeza," kata Hasnah yang mempengerusikan panel hakim itu.

Beliau berkata isu pertindihan permohonan tidak timbul kerana remedi dipohon berbeza.

Mahkamah, katanya, mendapati terdapat kes yang boleh dipertikaikan dan permohonan semakan bukan suatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Hasnah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes semakan penghakiman di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di Kuala Lumpur.

Pada 20 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee bagi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram yang menyebabkan mereka merayu di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi (ketika itu), dalam penghakimannya, berkata permohonan Najib dan Muhammad Shafee serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata adalah lebih sesuai isu pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan ditangani di Mahkamah Tinggi jenayah, kerana permohonan yang sama masih menunggu untuk didengar di mahkamah itu.

Najib dan Muhammad Shafee telah memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya sebagai responden pertama manakala Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam kedua-dua permohonan, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan oleh Peguam negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!