Tubuh jawatankuasa siasat kegagalan sistem di KLIA
PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan insiden gangguan sistem di lapangan terbang itu.
Kegagalan sistem TAMS di KLIA dikesan pada 21 Ogos (Rabu) hingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama empat hari ini, dan sistem itu distabilkan pada 24 Ogos (Sabtu).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata jawatankuasa yang ditubuh secara pentadbiran itu adalah bagi menyiasat punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa hadapan.
"Jawatankuasa ini diberi tempoh satu bulan untuk menyiapkan laporan terperinci kepada jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman akan mempengerusikan jawatankuasa enam anggota itu.
Anggota lain jawatankuasa ialah Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Dr Nungsari Ahmad Radhi; anggota Suruhanjaya MAVCOM Datuk Seri Long See Wool; anggota Pihak Berkuasa
Penerbangan Awam (CAAM) Afzal Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Ahmad Nizar Zolfakar; Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir Md Shah Nuri Md Zain.
Bahagian Udara, Kementerian Pengangkutan akan bertindak selaku sekretariat.
Loke berkata, pihak kementerian merakamkan penghargaan kepada para penumpang di atas kesabaran serta berterima kasih kepada para petugas yang membantu semasa insiden itu.
"Segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang KLIA dalam insiden ini amatlah dikesali," katanya.
Pada Jumaat (23 Ogos) ketika sistem di KLIA masih mengalami gangguan, Loke telah meninjau keadaan di lapangan terbang itu sebelum berlepas ke Pulau Pinang.
Beliau berjaya tiba di destinasi untuk menghadiri program rasmi di Pulau Pinang walaupun penerbangannya dilaporkan mengalami kelewatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!