Britain sumbang RM51.4 juta bantu pulih Amazon
BIARRITZ - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini berkata negaranya akan menyumbang £10 juta (RM51.4 juta) bagi membantu memulihkan hutan hujan Amazon yang dilanda kebakaran dahsyat.
Menurut kenyataan kerajaan Britain di Sidang G7 yang berlangsung di Perancis, wang tersebut akan digunakan untuk memulihkan habitat termasuk kawasan yang terjejas akibat kebakaran.
Ikrar tersebut dibuat selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, pemimpin dunia bersedia untuk membantu negara yang terkesan akibat kebakaran hutan terbabit secepat mungkin.
"Dalam masa seminggu kita semua dapat melihat hutan hujan Amazon terbakar, kita tidak dapat mengelak realiti kerosakan yang kita lakukan kepada dunia," kata Johnson dalam satu kenyataan.
Meskipun 60 peratus Amazon berada di Brazil, sebahagian besar hutan itu turut terletak di Bolivia, Colombia, Ecuador, French Guiana, Guyana, Peru, Surinam dan Venezuela. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!