Treler tentera bawa kereta kebal terbabas

Keadaan treler tentera yang membawa muatan kereta kebal yang terbabas di Jalan Bukit Putus Gemencheh-Tampin petang tadi.
Keadaan treler tentera yang membawa muatan kereta kebal yang terbabas di Jalan Bukit Putus Gemencheh-Tampin petang tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Tiga anggota tentera cedera selepas kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Putus-Gemencheh di sini petang tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 4.30 petang itu, kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kem Tentera Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan ke Putrajaya untuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila KPKP dinaiki mereka hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit disebabkan permukaan jalan licin akibat hujan lebat.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan kenderaan berkenaan terbabas lalu melanggar pengadang di sebelah kiri jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan.

Katanya, dua anggota berusia 33 dan 36 tahun menerima rawatan di zon hijau Hospital Tampin kerana cedera di kaki, manakala seorang anggota berusia 36 tahun dimasukkan ke zon kuning hospital yang sama kerana cedera di kepala dan kaki.

"Turut bersama dalam kenderaan itu ialah dua pemandu, bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian, terdapat sembilan KPKP membawa 12 kereta perisai dalam perjalanan ke Putrajaya dan kereta perisai diangkut KPKP itu tidak mengalami kerosakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!