Makanan percuma: Gariskan mekanisme terperinci
KUALA LUMPUR - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menyokong penuh keputusan Kementerian Pendidikan untuk memberikan makanan percuma kepada semua murid mulai tahun depan.
Naib Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad bagaimanapun berpandangan, satu mekanisme terperinci perlu digariskan supaya matlamat asal untuk memastikan murid diberi makan sebelum memulakan pembelajaran akan tercapai.
Menurutnya, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sebelum ini perlu dijadikan panduan agar masalah sama tidak berulang.
"Berdasarkan pengalaman RMT, murid memang dihendaki datang ke sekolah lebih awal tetapi kita lihat timbul masalah kepada guru yang menjaga (program) RMT kerana yang pertama, murid datang lambat ke sekolah.
"Guru-guru terpaksa agihkan makanan pada waktu rehat dan sebagainya. Mulai tahun depan semua murid diberikan kemudahan tersebut dan saya rasa ia pasti akan memberi lebih bebanan kepada guru," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Kementerian Pendidikan untuk memastikan setiap murid yang hadir ke sekolah pada tahun depan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!