Rektor UIAM mencabar ‘Sophia’
REKTOR UIAM, pada 2 Ogos 2019, telah menulis di Utusan sebuah artikel yang bertajuk, Siapa dia Sophia? Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata, "Tanpa manusia, robot bernama Sophia tidak akan wujud sama sekali. Oleh itu amatlah malang jika setelah terwujudnya robot, manusia tidak berupaya mengawalnya, bagai hantu raya tidak bertuan. Sebaliknya manusia pula yang dirobotkan bagai hantu raya melawan tuan. Maka soalannya, apakah manusia mampu bertahan daripada Sophia dan konco-konconya?"
Persoalan ini menarik perhatian penulis kepada isu ontologi falsafah iaitu siapa sebenarnya hantu raya dan siapa tuan? Insan atau Sophia (robot)?
Kalau berfikir biasa, seseorang akan berkata sudah tentulah Sophia itulah hantu raya dan tuannya adalah insan kerana Sophia itu adalah sebuah robot ciptaan manusia. Logiknya mudah: Insan cipta Sophia, maka sudah tentulah insan adalah tuannya.
Dalam berfalsafah, kita fikir lebih jauh lagi. Sophia diperlengkapkan dengan apa yang dikenali sebagai AI (Artificial Intelligence) kerana ia memiliki akal yang mampu memproses informasi, menyelesaikan masalah dan mencuit hati.
Prof Dzulkilfli berkata, "Sophia kini dikatakan mampu berbicara sendiri dengan air muka dan gerak mata serta bibir yang seakan-akan manusia bernyawa. Yang anehnya Sophia adalah warganegara Arab Saudi. Ia adalah robot pertama yang diberikan kerakyatan".
Sophia diberi kerakyatan kerana 'beliau' bukan sekadar robot biasa tetapi ialah humanoid. Inilah salah satu cabaran Revolusi Industri 4.0. Kalau Revolusi Industri sebelum ini menghasilkan teknologi yang berkhidmat untuk manusia, Revolusi Industri 4.0 kali ini menghasilkan teknologi yang 'menjadi' manusia yang berakal.
Kalau 'menjadi' manusia maknanya memiliki kemahiran untuk memproses informasi sahaja, maka sudah tentulah Sophia jauh lebih manusia daripada manusia kerana Sophia memiliki AI yang mampu memproses berbillion data informasi hanya dalam beberapa saat.
Maknanya, Sophia lebih layak menjadi tuan dan manusia menjadi hantu raya kerana intelligence Sophia lebih hebat.
Bayangkan anda memiliki kalkulator. Setiap kali anda campur darab, anda pasti guna kalkulator. Bayangkan ini jadi kebiasaan anda. Selepas 10 tahun, apa jadi pada kemahiran anda? Akal anda jadi malas dan akhirnya tidak diprogramkan untuk mengira.
Seperti kalkulator tadi, manusia akan menjadi 'ultra malas'. Bahkan manusia tidak perlu memainkan peranan-peranan manusia lagi. Sophia lebih mampu menggantikan tugas manusia sebagai 'Modal Insan'.
Di dalam artikel yang bertajuk Sejahtera For Quality Education di New Straits Times pada 4 Februari 2019, Rektor mengkritik konsep 'Modal Insan'. Rektor membongkarkan kecelaruan pendidikan yang bersifat technology-centric bila ia cenderung kepada falsafah yang menganggap manusia hanya salah satu daripada 'modal' ekonomi.
Sekiranya Sophia dan manusia adalah 'Modal Insan', maka tiada apa yang menjadikan manusia lebih istimewa kerana sudah pasti Sophia lebih cekap dan cepat dalam melaksanakan tugas-tugasnya.
Rektor menyuarakan kekecewaannya tentang krisis falsafah dalam menangani isu ini. Rektor mencadangkan 'Sejahtera' sebagai kata kunci kepada falsafah yang akan mengangkat kembali darjat manusia. Kata kunci ini tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa Inggeris. Artikel saya minggu hadapan akan membincangkan falsafah 'Sejahtera.'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!