Pelancongan bertanggungjawab ke arah kelestarian industri di Sarawak
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Sarawak memilih untuk melaksanakan konsep pelancongan bertanggungjawab bagi memastikan industri pelancongan negeri itu mencapai keseimbangan.
Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia mengambil kira aspek ekosistem selain dalam masa sama dapat memberi kepuasan kepada pelancong, tuan rumah dan kerajaan negeri secara keseluruhannya.
"Pelancongan Bertanggungjawab berkisar kepada pelancongan yang menawarkan tempat-tempat lebih baik untuk dikunjungi orang ramai.
"Ia menumpukan kepada apa dilakukan individu, perniagaan dan kerajaan untuk memaksimumkan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif terhadap pelancongan. Ia mengenal pasti isu-isu dalam negara dan menanganinya secara telus, " katanya dalam ucapan perasmian pada majlis makan malam meraikan delegasi Persidangan Pelancongan Dunia 2019 (WTC 2019) di sebuah hotel di sini malam tadi.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor.
Menurutnya, pelancongan bertanggungjawab tampil dalam pelbagai bentuk yang bercirikan kembara dan pelancongan.
"Ia dapat meminimumkan impak negatif terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial. Ia turut menjana manfaat ekonomi lebih besar untuk penduduk tempatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti selaku hos, selain menambah baik akses kepada industri.
"Pelancongan bertanggungjawab juga menyumbang kepada pemuliharaan warisan budaya dan alam semula jadi bagi mengekalkan diversiti dunia. Selain itu, ia juga dapat memberi pengalaman menyeronokkan kepada pelancong melalui pergaulan dengan masyarakat tempatan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Sarawak berhasrat untuk dikenali sebagai destinasi pelancongan dunia dan menyasarkan kehadiran lima juta pelancong bagi tahun ini.
“Tahun lalu Sarawak menerima kehadiran 4.43 juta pelawat dengan menjana pendapatan sebanyak RM7.95 bilion. Bagi tahun ini, kami menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu ketibaan lima juta pengunjung yang akan dikira berdasarkan angka Perakuan Satelit Antarabangsa.
"Kami akan memberi tumpuan kepada eko pengembara berdasarkan kepada produk Sarawak yang berkisar mengenai budaya, pengembaraan, alam sekitar, makanan dan festival," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!