'Saya fikir kalau esok mati macam mana'
USAHAWAN kosmetik, Mohd Safiuddin Ilias, 25, atau Safiey Ilias selamat menjalani pembedahan membuang implan silikon di bahagian dada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Difahamkan, ini kali kedua Safiey melakukan pembedahan sama selepas kali terakhir pada April tiga tahun lalu.
Safiey melalui Instagram (IG) dan Facebook rasminya mengesahkan melakukan pembedahan itu demi bapa dan ibunya.
“Alhamdulillah. Maaf mungkin jarang ‘update’, baru selesai buang implan silikon. Ayah suruh dan saya turuti.
"Sebab saya fikir esok mati macam mana. Saya buat demi reda ALLAH (SWT) dan mak ayah.
“Kawan ada halang tapi nanti di akhirat saya yang kena jawab, bukan kawan saya,” kongsinya di IG miliknya.
Sementara itu dalam posting berlainan, dia turut berkongsi gambar dia bersama ibunya.
"Mak cakap anak lelaki mak sudah kembali. Malam tadi mak tak makan sebab risau pembedahan. Apit sayang mak. Maaf muka tahan sakit," tulisnya lagi.
Sejak akhir-akhir dia banyak berkongsi dirinya berpenampilan lelaki, itu mungkin sebagai tanda awal perubahan yang ingin dilakukan.
Pada April 2016, Safiey melakukan pembedahan sama untuk kembali kepada fitrah sebagai lelaki, namun beberapa lama selepas itu mencipta kejutan apabila mengambil keputusan untuk menjadi 'wanita' semula dengan memuat naik gambar berpakaian wanita menerusi laman IG.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!