'Rupanya mayat anak sendiri'

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah tidak menyangka sekujur tubuh pelajar lelaki terbaring di jalan raya adalah anaknya sendiri.

Ahmadrunizam Awang, 44, berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku ketika dia dan isteri pulang sebaik selesai urusan kerja di Kuala Lumpur.

Ahmadrunizam yang menetap di Kampung Pasir Tuntong berkata, dia yang melalui jalan terbabit tidak mengesyaki sesuatu meskipun ternampak mayat kaku di atas jalan.

"Saya meneruskan pemanduan kerana ingatkan anak orang lain, tapi bila sampai ke tempat menunggu bas berhampiran rumah kelibat anak tak kelihatan.

"Saya mula rasa tidak sedap hati dan kebetulan menerima panggilan telefon daripada adik ipar memaklumkan anak saya dilanggar kenderaan ketika melintas jalan," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya berpatah semula ke tempat kejadian dan terkejut apabila anaknya, Ahmad Rafiq Darwisy, 13, tidak lagi bernyawa.

"Saya berlari ke arahnya dan sempat membuka baju yang dipakai bagi menutupi jenazah anak sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Katanya, Ahmad Rafiq yang dalam perjalanan ke sekolah sempat meninggalkan pesanan kira-kira 10 minit sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum kejadian, arwah ada hubungi isteri beritahu supaya jaga diri baik-baik dan berhati-hati," katanya.

Ahmadrunizam berkata, anak keempat daripada enam beradik itu disifatkan sebagai anak yang baik dan suka bergurau.

"Arwah seorang yang ceria dan ringan tulang. Bila disuruh melakukan sesuatu dia cepat membantu.

"Ini semua takdir ALLAH, sebagai bapa saya hanya mampu berdoa supaya arwah diberikan kebaikan dunia dan akhirat," katanya.

Jenazah Allahyarham Ahmad Rafiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Api-Api kira-kira jam 5. 30 petang, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang pelajar tingkatan 1 yang dalam perjalanan ke sekolah menemui ajal apabila tercampak kira-kira 20 meter selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 38 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Assam Jawa, di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tingkatan satu maut dilanggar kereta

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Ahmad Rafiq mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!