2018 dalam kenangan, 2019 bawa harapan
2018 juga mencatatkan sejarah apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson sebagai laluan untuk ke Dewan Rakyat.
A
A
A
Banyak peristiwa yang telah berlaku dan yang telah kita lalui pada tahun ini. Kita cuba menelusuri sejarah 2018 dengan mengimbasi kembali beberapa peristiwa bersejarah berikut:
i) PRU14 dan pencapaian kerajaan PH
2018 akan terpahat dalam ingatan kita sebagai tahun yang amat bersejarah bagi negara dan kita sebagai rakyat Malaysia. Pada 9 Mei 2018, rakyat telah bangkit membuat kejutan pada PRU14 dengan memilih Tun Dr Mahathir dan PH sebagai kerajaan baru. Rakyat telah menolak rejim kleptokrat Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Umno/ BN yang memerintah enam dekad yang lalu.
Selepas tujuh bulan PH memerintah dan mentadbir negara, pelbagai penilaian telah dibuat tentang keberhasilan dan kegagalan PH sebagai sebuah kerajaan. Ada yang mengalu-alukan kejayaan PH, ada pula yang mengata PH separuh berjaya dan separuh gagal. Ada juga yang mendakwa PH langsung gagal sebagai sebuah kerajaan.
Ramai pemerhati politik memperakui bahawa kerajaan PH komited dalam usaha meringankan bebanan hutang negara, memerangi rasuah, membuat perubahan dan transformasi kepada sistem urus-tadbir negara. Beberapa projek besar telah dibatalkan atau dikaji semula. Apapun penilaian pengulas dan pemerhati politik dalam hal ini, yang lebih pentingnya ialah penilaian yang dibuat oleh rakyat jelata.
Antara kayu ukur yang boleh kita guna pakai sebelum PRU15 ialah bancian dan kaji selidik oleh badan-badan bebas yang kredibel dan berintegriti serta beberapa PRK yang telah diadakan selepas PRU14. Mengikut bancian Merdeka Center dan Ideas, rakyat keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi PH. World Bank juga berpuas hati dengan kewajaran serta kemantapan polisi ekonomi dan fiskal kerajaan PH. Bloomberg pula meletak Malaysia di tangga teratas dalam senarai “Asia Emerging Markets”. Empat PRK yang telah diadakan selepas PRU14 juga berpihak kepada PH.
Namun wujud kegelisahan dan kerisauan dalam kalangan rakyat bahawa ekonomi negara masih lembab, kos sara hidup tetap mencengkam kehidupan harian mereka. GST sudah dihapuskan, digantikan dengan SST tetapi harga dan kos barang masih tinggi. Orang Melayu pula merasa tercabar dengan tindak-tanduk beberapa pemimpin dan badan bukan Melayu yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan institusi raja sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Polemik dan kontroversi dalam hal-hal ini menjadi ketara dalam kes Kuil Sri Maha Mariamman yang mengakibatkan kematian ahli bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim. Sementara itu, isu ICERD pula menyebabkan tercetusnya perhimpunan 812 di Dataran Merdeka.
ii) Malaysia Baharu laju dan kencang
Apapun yang ingin kita perkatakan tentang kerajaan PH namun hakikat yang perlu kita akui dan terima ialah Malaysia Baharu telah bergerak dengan begitu pantas sekali semenjak PRU14. Bayangkan dalam tempoh tujuh bulan kita telah menyaksi berapa banyak pendakwaan atas salah laku di bawah pelbagai akta dalam kes kes berprofil tinggi termasuklah ke atas Najib dengan 39 pertuduhan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (46 pertuduhan), Datuk Seri Musa Aman (35 pertuduhan), Datin Seri Rosmah Mansor (22 pertuduhan), Tan Sri Isa Samad (10 pertuduhan), Datuk Seri Dr Irewan Siregar (6 pertuduhan), Tan Sri Muhamad Shafie (4 pertuduhan). Sementara itu ada banyak kes lagi yang melibatkan pembesar-pembesar negara di bawah kerajaan dahulu seperti Datuk Seri Azeez Rahim, pengarah-pengarah lama TH dan lain-lain lagi di peringkat siasatan oleh polis atau SPRM.
Di medan politik pula, percaturan baru terus berlaku dengan hebatnya. Umno makin kucar-kacir dan dianggap sebagai kapal yang sedang karam ekoran ramai wakil rakyat dan pemimpin kanan mereka lompat parti. Daripada 52 jumlah asal Ahli Parlimen, sekarang Umno hanya tinggal 37sahaja dengan 15 sudah melompat keluar parti. Ahmad Zahid yang mengambil alih jawatan Presiden selepas PRU14 juga terpaksa melepaskan tanggungjawab kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan selepas berdepan dengan asakan dan desakan daripada pemimpin-pemimpin lain serta akar umbi untuk melepaskan jawatan. Pas pula kelihatan masih kukuh dan padu sebagai sebuah parti tetapi sudah tidak yakin dan galak lagi dengan laungan tahaluf siyasi dengan Umno. Sudah mula timbul keretakan dan ketegangan dalam hubungan antara kedua-dua parti.
iii) Cabaran untuk PH dan negara seterusnya
Pun begitu PH tetap berdepan dengan berbagai cabaran untuk terus kekal bersama rakyat. Mereka perlu menunaikan janji-janji pilihan raya. Agenda pembaharuan dan transformasi perlu diteruskan. Parti-parti komponen wajar menunjukkan kesatuan dan perpaduan yang jitu sesama mereka. Menteri-menteri yang tidak berpengalaman atau yang muda perlu bertindak dan mencetus idea dengan lebih mantap dan matang lagi untuk mendapat keyakinan serta kepercayaan rakyat. Mereka semua perlu belajar dari pengalaman serta kesilapan agar 2019 akan lebih cemerlang lagi.
Rakyat juga perlu menjadi lebih bijak dan matang hasil dari pengalaman-pengalaman yang lepas. Mereka perlu lebih kritis dalam menerima, mendengar dan membaca berita atau maklumat agar dapat membezakan antara yang benar daripada yang batil, yang saheh daripada fitnah dan sebagainya. Tidak kira dari mana sumber itu datang sama ada daripada pihak lawan atau kawan, dari pemimpin parti lawan atau pemimpin yang kita sanjungi, daripada orang biasa ataupun ustaz dan tok guru.
Selamat datang 2019
Berbekalkan pengalaman-pengalaman silam termasuk pengajaran yang diperoleh daripada tahun 2018, kita menyambut kehadiran tahun 2019 dengan penuh yakin akan menjadi tahun yang lebih baik daripada 2018.
Khususnya bagi orang Islam Melayu, kita berpesan-pesan sesama kita ke arah kebaikan sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Asri dan kita kentalkan dalam jiwa raga kita peringatan tentang Islam sebagai rahmatan lil alamin. Kita terjemahkan kalimah tersebut dalam kehidupan harian kita dengan mengguna kuasa, kekuatan dan kelebihan yang ada pada kita dengan penuh rahmah dan ihsan terhadap semua.
Doa untuk pemimpin
Kepada semua pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat, kita doakan agar mereka lebih peka dengan harapan serta aspirasi rakyat dan menunaikan tanggungjawab serta amanah sebaik mungkin.
Kepada pemimpin Islam, kita garapkan kata-kata di bawah dengan mengambil inspirasi daripada puisi “Doa” nukilan Chairil Anwar sebagai pesanan.
Aku kehilangan ruh, bentuk dan wajah
Aku ini pemimpin terbilang
Islam wadah perjuanganku
Bibirku sering melafaz
Mulutku selalu berkata
Tiada Tuhan yang aku sembah
Selain DIA Yang Satu
Tuhan sekelian alam
Tetapi bila ujian mendatang
Dugaan tiada kepalang
Jawatan dan kuasa
Wang ringgit, emas dan perak
Keindahan dan perhiasan duniawi
Ditawar dan berada di depan mataku
Mataku mula kabur
Istiqomahku ikut luntur
Aqidahku goyah lumpuh
Aku menjadi lemah, layu dan longlai
Terpedaya dengan nafsu
Tertipu dengan godaan iblis
Terpesong dengan bisikan syaitan
Aku sangkakan aku ada harga diri
Rupanya aku ada harga untuk dibeli
Aku menjadi galak dan ghairah
Dengan dunia dan kemewahannya
Aku sesat dalam perjalanan
Aku kehilangan ruh
Wajah dan bentuk
“Tuhanku dalam termanggu
Aku masih menyebut nama-Mu
biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh
cahaya-Mu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi”
Aku mencari tempat
Untuk berteduh
Dari panas keliling
Aku tak bisa berpaling
Ya Rabb Ya Alamin
Terimalah taubatku
Maafkanlah aku
Ampunkanlah segala dosaku
Aku kembali kepadaMu
Menyusun semula perjalanan hidupku
Mengikuti landasan sirotul-mustaqim.
Selamat menyambut tahun 2019!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!