11,256 murid di Pasir Gudang diarah cuti sempena UPSR
PASIR GUDANG - Seramai 11,256 murid tahun satu hingga lima daripada 12 sekolah sekitar kawasan ini akan dicutikan sepanjang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung September depan.
Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.
Menurutnya, pemilihan 12 sekolah berkenaan kerana dikenal pasti antara sekolah 'hotspot' yang terbabit dalam insiden pencemaran udara dan gangguan kesihatan dalam kalangan murid pada Jun lalu.
"Sepanjang tempoh ini, cuma akan ada murid tahun enam atau calon UPSR sahaja, murid lain akan dicutikan. Ini untuk membolehkan proses kawalan dilakukan dengan lebih berkesan dan tertumpu.
"Kita juga mencadangkan peperiksaan ini dilakukan di kelas-kelas berada di aras bawah yang mana kebiasaannya digunakan untuk murid darjah rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Kempen Kesedaran Mengenai Pengetahuan Keselamatan Diri di Pasir Gudang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah Ria di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Jasni berkata, sepanjang berlangsungnya peperiksaan berkenaan, pihaknya juga telah menerima jaminan untuk mendapat bantuan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan.
"Agensi-agensi ini akan membantu persediaan sepanjang peperiksaan dijalankan. Kita juga turut merancang melakukan usaha sama ketika peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) nanti," katanya.
12 sekolah yang terbabit dengan inisiatif berkenaan adalah SK Kopok, SK Tanjung Puteri Resort, SK Taman Scientex, SK Kota Masai dan SK Pasir Gudang 4,
Turut terbabit adalah SK Taman Bukit Dahlia, SK Taman Megah Ria, SK Taman Pasir Putih, SK Taman Rinting 3, SK Pasir Gudang 3 dan SK Kota Masai 3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!