Pinta atasi kelemahan, pulih imej tahfiz di Pahang.
Pengerusinya, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani berkata, tahun 2018 penuh dengan cabaran dan amat perit dihadapi pengurusan pusat tahfiz bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.
Beliau turut mengakui kebanyakan pusat tahfiz terkesan dengan isu dan tekanan yang berlaku termasuk kemerosotan bilangan pelajar.
“Justeru untuk 2019, kita ambil langkah memperbaiki segala kelemahan untuk pulihkan kembali imej pusat tahfiz dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk polis, bomba dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).
“Walaupun dilanda pelbagai isu, ternyata permintaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mengikuti pengajian di pusat tahfiz tetap ada namun mungkin tidak serancak dahulu,” katanya.
Muhammad Abdul Salam berkata, bagi ibu bapa, pusat tahfiz merupakan institusi terbaik bukan sahaja dalam pengajian agama dan al-Quran malah dalam mentarbiah anak-anak mereka.
“Jadi kita ambil iktibar segala peristiwa pahit sepanjang 2018 sebagai pengajaran untuk memperbaiki segala kelemahannya,”katanya.
Beliau berkata, Pinta Pahang akan memainkan peranan lebih proaktif dalam menjayakan segala perancangan untuk 2019.
Muhammad Abdul Salam juga memberitahu antaranya membantu menyalurkan sumbangan makanan kepada pusat tahfiz melalui penubuhan tabung atau bank makanan hasil sumbangan orang ramai.
“Kita merancang menyediakan pusat pengumpulan khas untuk mengumpul sumbangan makanan mentah hasil sumbangan orang ramai dan diagihkan kepada pusat tahfiz yang memerlukan.
“Pinta Pahang juga akan berkerjsama dengan pihak berwajib sebagai orang tengah dalam membantu pusat tahfiz termasuk pengurusan dana untuk kebajikan dan prasarana,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan semua penguusan pusat tahfiz mematuhi arahan pihak berkuasa dalam memastikan matlamat dan hala tuju penubuhan institusi itu tercapai.
“Dalam usaha ini, kita cuba pastikan untuk 2019, semua pusat tahfiz di negeri ini berdaftar,” katanya.
Selain itu katanya, Pinta Pahang juga berperanan sebagai wakil kerajaan dalam memastikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) tercapai.
Mohd Abdul Salam berkata, pihaknya juga menubuhkan Jawatankuasa Induk Penyelarasan Institusi Pendidikan Daerah Kuantan yang dipengerusikan kadi daerah.
Katanya, melalui jawatankuasa induk itu akan diwujudkan jawatankuasa kecil bagi membantu pihak Jaip menyelaras semua pusat tahfiz di negeri ini sama ada yang berdaftar atau sebaliknya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Abdul Salam yang juga Pengasas Pusat Tahfiz Miftahul Qura, Bukit Bayroute di sini, berkata, secara peribadi beliau melihat tekanan dihadapi pusat tahfiz atas pelbagai isu yang timbul ada buruk dan baiknya.
Menurutnya, sebagai pengusaha pusat tahfiz, beliau akui terguris dengan kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan institusi tahfiz hingga ada cadangan penutupan pusat berkenaan.
“Pada masa sama, saya juga kasihan kepada golongan yang sentiasa melihat kesalahan dan kelemahan pusat tahfiz ini kerana mereka tidak memahami maksud dan tujuan sebenar kewujudan institusi tahfiz ini,’katanya.
Beliau berkata, situasi itu mungkin berlaku kerana mereka tidak memahami dan pusat tahfiz juga tidak pernah mendekati dan memberi penjelasan sebenar kepada mereka.
“Kalau mereka faham, insya-ALLAH perkara ini tidak berlaku jadi kita kena berdepan dan menerangkan kepada mereka kepentingan konsep pendidikan tahfiz dalam situasi pendidikan hari ini,”katanya.
Menurutnya, pada masa sama beliau melihat bila ada pihak yang menyentuh dan mempersoalkan institusi tahfiz ini, ia juga sebenarnya ada kebaikan tersirat.
“Mungkin ALLAH bagi isyarat dengan cara ini supaya pusat tahfiz bersatu dan kembali kepada matlamat asal.
“Kita akui dalam pusat tahfiz pun ada bermacam-macam masalah. Jadi segala yang berlaku ini membuatkan kita bersatu dan fokus kepada matlamat asal untuk mendidik generasi al-Quran yang dapat mengagungkan kitab suci ini dan mempraktikkan amalan hidup beragama,”katanya.
Katanya, pusat tahfiz di negeri ini ke arah penyatuan dengan peranan pihak-pihak yang berkaitan.
“Allhamdulillah, bila berlaku situasi ini PIHAK pejabat agama juga lebih dekat dengan kami, kalau sebelum ini kita sendiri terkial-kial. Bila ada pihak kacau, kami diberi perhatian, masalah kami diselami dan ada usaha untuk membantu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!