Lebih banyak peluang kerjasama Petronas-PetroVietnam: PM
KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh memperkukuhkan lagi kerjasamanya dengan Vietnam Oil and Gas Group (PetroVietnam), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
"Petronas Malaysia aktif di Vietnam, dan masih ada banyak ruang kerjasama antara PetroVietnam dan Petronas," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc di Hanoi, hari ini.
Dr Mahathir tiba di Hanoi pada malam Isnin untuk lawatan rasmi tiga hari ke republik sosialis itu atas jemputan rakan sejawatannya.
Petronas mula beroperasi di Vietnam pada 1991. Ia baru-baru ini menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) dengan PetroVietnam untuk penjualan dan pembelian gas tambahan dari Blok PM3 CAA, Malaysia ke Wilayah Ca Mau, Vietnam, bagi menyokong rancangan negara itu untuk memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan Barat Dayanya.
Bercakap pada majlis yang berlangsung pada 21 Mac lepas, Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Muhammad Zamri Jusoh berkata: Pemeteraian perjanjian hari ini adalah bukti komitmen Petronas untuk menyokong pertumbuhan industri gas serta meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi untuk Malaysia dan Vietnam.
"Perjanjian ini juga meningkatkan lagi perkongsian jangka panjang kami dengan Vietnam dan kami berharap kerjasama seperti itu dapat diteruskan," katanya.
Kali terakhir Dr Mahathir melakukan lawatan kerja ke Vietnam ialah pada 1998, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean. Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik sejak 1973.
Vietnam ialah rakan kongsi ekonomi yang penting bagi Malaysia. Malaysia dan Vietnam dijangka mencatat perdagangan bernilai US$15 bilion (RM63 bilion) menjelang tahun depan berbanding US$13.3 bilion (RM55.7 bilion) tahun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!