Penoreh Padang Terap resah harga getah tak menentu

Rata-rata penoreh getah di Padang Terap mengharapkan nilai getah dapat ditingkatkan sehingga RM4 sekilogram.
Rata-rata penoreh getah di Padang Terap mengharapkan nilai getah dapat ditingkatkan sehingga RM4 sekilogram.
A
A
A

KUALA NERANG - Penoreh getah di Padang Terap kembali resah apabila harga getah kembali murah dan kini mencecah RM2.19 sekilogram.

Pengerusi Persatuan Penoreh dan Pekebun Getah Padang Terap, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, sepanjang bulan ini, penoreh hanya mampu menoreh tidak sampai 10 hari disebabkan musim hujan sekali gus menjejaskan pendapatan golongan tersebut.

Menurutnya, lebih kurang 35,000 orang atau 80 peratus penduduk di daerah Padang Terap rata-rata mengharapkan pendapatan dari menoreh getah di samping melakukan kerja-kerja kampung yang lain.

"Rata-rata penoreh melihat kerajaan Pusat gagal untuk menstabilkan dan menaikkan harga getah dan situasi sama sahaja dari dulu sampai sekarang.

"Sepatutnya harga lantai perlu dinaikkan kepada RM4 sekilogram memandangkan waktu menoreh hanya beberapa hari sahaja dalam sebulan disebabkan hujan. Pada bulan ini, penoreh hanya mampu menoreh tidak sampai 10 hari sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan beras kepada 100 orang penoreh miskin di Mukim Tualak dekat sini.

Ahmad Zulkifli (kanan) menyampaikan sumbangan beras kepada penoreh di Mukim Tualak, Kuala Nerang.
Ahmad Zulkifli (kanan) menyampaikan sumbangan beras kepada penoreh di Mukim Tualak, Kuala Nerang.

Jelas Ahmad Zulkifli, rata-rata penoreh getah juga turut menyatakan kebimbangan bakal terputus pendapatan dan berharap Kerajaan Pusat ataupun negeri dapat membantu mereka terutamanya dalam menghadapi musim hujan ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pekebun getah juga menggesa Kerajaan Kedah agar mempertimbangkan untuk menghapuskan cukai kayu getah kerana dilihat membebankan pemilik kebun getah.

"Cukai yang dikenakan adalah sebanyak RM70 bagi satu relung dan proses permohonan untuk tanam semula juga makin lambat kerana melibatkan kelulusan dua jabatan iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan jabatan hutan," katanya.

Katanya, persatuan penoreh juga memohon Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Risda untuk mengkaji semula klon getah yang ada kerana susu getah sangat kurang dan jangka hayat torehan juga pendek iaitu selama 15 tahun sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!