Pertaruh nyawa lalu jambatan
KULIM - Penunggang motosikal tetap melalui Jambatan Sungai Kulim yang strukturnya terjejas walaupun ia telah ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Walaupun tindakan itu mengundang bahaya, namun pengguna tiada pilihan lain untuk ke beberapa destinasi utama memandangkan jarak perjalanan lebih dekat dan menjimatkan masa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati salah satu batu sekatan serta kon telah dialihkan bagi membolehkan laluan itu dilalui.
Seperti makluman awal JKR sebelum ini, jambatan tersebut ditutup pada jam 6 petang 6 Disember lalu dan dijangka dibuka pada 6 petang, 4 Januari depan bagi kerja baik pulih dan pengguna diminta menggunakan laluan dicadangkan.
Jimat kos petrol, masa
Penduduk Kampung Sungai Ular, Khairunnisa Yahya, 48, berkata, kos hidup tinggi termasuk petrol memaksa pengguna termasuk pelajar sekolah melalui jambatan itu.
“Jalan satu lagi (Kilang Lama) pula jauh. Anak saya belajar di Taman Kota Kenari. Kalau lalu guna jambatan ini hanya 10 minit, tetapi kalau lalu jalan Kilang Lama dengan keadaan sesak lagi, boleh ambil masa sampai sejam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Meskipun menyedari keadaan berbahaya di jambatan itu, Khairunnisa mengakui terpaksa merelakan anaknya menggunakan laluan itu untuk ke sekolah.
“Memang la bahaya tapi...jalan itulah yang paling cepat pun untuk sampai ke sekolah. Tak izin budak-budak lalu di jambatan itu pun keadaan tetap bahaya lalu jalan raya lain.
“Kemalangan kita tak boleh jangka, tetapi jika pihak berkenaan selesaikan masalah di jambatan ini secepat mungkin, alhamdulillah,” katanya.
Hakisan tanah makin teruk
Penduduk, Maludin Wahab, 62, berkata, faktor jarak dan masa menyebabkan pengguna mengambil keputusan melalui jalan tersebut.
“JKR tak bagi lalu, tapi nak buat macam mana? Nak pusing lalu jalan Kilang Lama tu jauh.
“Bukan saja budak sekolah, pekerja kilang juga ramai yang lalu jalan ini terutamanya waktu puncak,” katanya.
Maludin berkata, hakisan tanah akan bertambah teruk sekiranya tindakan segera tidak diambil.
Katanya, masih ada pengguna terutamanya dari luar kawasan Kulim tidak mengetahui jambatan berkenaan ditutup sementara.
“Ada kereta-kereta yang lalu di sini bila sampai berhampiran jambatan berpatah balik.
“Diharap, papan tanda hebahan dibuat di kawasan utama bagi membolehkan ramai yang tahu jalan ini ditutup sementara,” katanya.
Katanya, penduduk berharap binaan jambatan ini dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, hasil tinjauan Sinar Harian bersama penduduk di bawah jambatan mendapati sebahagian strukturnya telah runtuh dan berongga.
Peniaga kedai terjejas
Penduduk, Jamil Lazim, 62, mendakwa, sumber pendapatan peniaga dikhuatiri terjejas sekiranya jambatan itu ditutup lebih lama.
“Ramai peniaga bermula sekitar jambatan hinggalah Taman Tiong dan Taman Merak terjejas kerana pelanggan tak boleh masuk.
“Jambatan ini laluan alternatif, laluan hidup bukan jalan mati. Ramai yang merungut masalah ini. Setakat ini jambatan ini belum dibaik pulih,” katanya.
Katanya, pengguna mengetepikan risiko bahaya kerana terpaksa melalui jalan berkenaan.
“Depa terpaksa juga lalu di sini, dah tak kira dah risiko yang ada. Jadi kita harap sangat percepatkanlah baiki jambatan ini,” katanya.
Penduduk, Hasani Yassin, 47,berkata, sebuah jambatan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Ular di sini juga dalam keadaan bahaya.
“Di bawah jambatan tu tanah dah semakin terhakis. Itu juga laluan utama semua jenis kenderaan.
“Jika tidak diberi perhatian, kita bimbang jambatan itu pun terjejas seperti jambatan ini. Jika boleh baiki juga jambatan tersebut,” katanya.
Tempoh penutupan jambatan dilanjut
Dalam pada itu, wakil JKR ketika dihubungi memaklumkan kerja-kerja pembaikan dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu selepas selesai lantikan kontraktor.
Menurutnya, tarikh penutupan jambatan terpaksa dilanjutkan.
“Semalam (kelmarin) iklan sebut harga telah dibuat. Pembaikan jambatan insya-ALLAH dibuat dalam tempoh dua minggu selepas lantikan kontraktor dibuat.
“Jambatan itu akan dipastikan siap pada Januari depan,” katanya.
Katanya, pengguna masih melalui jalan berkenaan walaupun jalan lencongan yang diberikan JKR sebagai laluan alternatif hanya sejauh 6.5 kilometer sahaja.
“Apa pun JKR telah membuat laporan polis ketika awal jambatan itu ditutup. Jika berlaku sebarang kemalangan ia di bawah tanggungjawab sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!