Sejak hari pertama saya jatuh cinta dengan Malaysia, kata Mat Dan
SHAH ALAM - “Sejak hari pertama saya sampai di Malaysia, saya telah jatuh cinta dengan negara ini," demikian cerita Duta Pelancongan Negeri Terengganu, Mat Dan ketika menceritakan pengalaman awalnya menjejakkan kaki ke Malaysia.
Menurutnya, antara momen yang membuka hatinya untuk meneroka keindahan Malaysia adalah apabila seorang individu tidak dikenali membayar minumannya di sebuah kedai di Terengganu.
Tambahnya, meskipun nilai minuman tersebut tidaklah begitu mahal namun ia membuatkan warga United Kingdom itu berminat untuk mempelajari lebih banyak berkaitan budaya rakyat Malaysia.
“Masa itu saya duduk di sebuah kedai, pesan minuman dan buka buku untuk ari hotel. Itu pertama kali saya sampai di Malaysia. Lepas dua tiga jam duduk di sana, saya dapat jumpa hotel. Saya bangun nak bayar air.
“Bila nak bayar air, rupanya ada orang sebelah saya dah bayar. Saya tanya kenapa bayar, dia kata memang budaya mereka begitu. Saya tetamu dan mereka akan layan tetamu dengan sebaiknya.
“Itu sebenarnya detik pertama buat saya rasa nak tahu lebih pasal budaya ini, kenapa orang ini ramah sangat dan baik dengan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Wacana Sinar Ke-122 bertajuk ‘Malaysia Dari Kaca Mata Mereka’ di Auditorium Karangkraf di sini petang tadi.
Tambah Mat Dan, budaya sebegitu sangat berbeza dengan negara asalnya.
“Negara saya memang tidak akan dapat layanan sebegitu. Kawan sendiri pun tak belanja. Tapi di sini, orang yang saya tak pernah kenal belanja saya minum,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!