DiCaprio lancar dana kecemasan AS$5 juta buat Amazon
PELAKON terkenal Leonardo DiCaprio mengumpul dana kecemasan sebanyak AS$5 juta (RM210 juta) bagi melindungi hutan Amazon.
Menerusi pertubuhan NGO Earth Alliance milik pelakon Hollywood itu, dana tersebut akan disalurkan kepada golongan pribumi dan pihak berkaitan yang melindungi biodiversiti hutan Amazon.
Sejak kebelakangan ini, Leonardo kerap memuat naik status di Instagram berkaitan alam sekitar dan turut berduka atas apa yang menimpa hutan Amazon.
Dalam kapsyen gambar yang dimuat naik, beliau mensasarkan dana sebanyak AS$5 juta.
"Sebanyak 100 peratus sumbangan anda akan diagihkan untuk memuliharakan habitat termasuk kawasan yang terjejas akibat kebakaran demi melindungi Amazon.
“Earth Alliance sangat komited untuk melindungi alam semula jadi," katanya.
Bintang filem Titanic ini juga menyatakan kebimbangan mengenai kebakaran hutan tersebut yang mendapat jolokan ‘paru-paru bumi’.
“Kawasan itu dihuni lebih satu juta penduduk dan menempatkan spesis haiwan yang perlu dilindungi.
“Amazon adalah sangat penting untuk memperlahankan pemanasan global yang sangat kritikal pada masa ini,” katanya berharap rakyat dunia mendoakan Amazon.
Beliau juga memberi nasihat kepada masyarakat supaya memainkan peranan dalam memuliharan dan melindungi hutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!