Nourul tersadung ketika pergi bercuti, bayi dalam kandungan selamat
PENYANYI Nourul Wahab kini sedang bercuti bersama keluarganya di Perancis. Namun yang lebih menarik perhatian apabila dia berkongsi detik cemas apabila terjatuh disebabkan cuba menghentikan anak lelaki bongsunya, Raphael Depp yang sedang bermain ski.
Bagaimanapun Nourul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 40, berkata, dia tidak mengalami kecederaan dan bayi dalam kandungannya masih bergerak.
"Ya ALLAH. Mohon pelihara. Buat masa sekarang, tak ada apa-apa. Alhamdulillah. #Isabelladepp bergerak.
"Panik dua minit. Jaga bukan main. Jatuh jugak. Tersadung dengan “Bob” yang Raphael naik. Dia jerit ingatkan takut rupanya teruja. Hantu betul Raphael ini, esok Isabella keluar, ketuk kepala awak," tulisnya.
Nourul berkongsi detik itu menerusi laman Instagram (IG) miliknya dan memuat naik video ketika mereka sekeluarga sedang bermain ski di La Bresse-Hohneck Labellemontagne, Perancis.
Menerusi video tersebut, penyanyi itu memberitahu dia bernasib baik apabila kaki terjatuh terlebih dahulu sebelum perutnya.
Menurut Nourul, kandungannya yang kini sudah mencecah enam bulan seperti telur yang rapuh dan setiap langkah yang diambilnya perlu berhati-hati.
"Kami terjatuh. Jatuh kaki dulu kemudian baru perut. Minta-minta tak ada apa-apa. Insya-ALLAH. Nak berhentikan Raphael, kita yang tertonggeng. Adui.
"Bila mengandung ini kan, macam ada telur dalam perut. Jadi, ianya rapuh. Bila jalan tu kena berjaga-jaga," katanya.
Sementara itu, rata-rata peminat turut melahirkan kerisauan namun pada masa yang sama mendoakan Nourul dan kandungan berada dalam keadaan selamat.
"Alahai.... Semalam tidak tergerak hati nak bagi tahu hati-hati jalan atas salji @nouruldepp. Tapi tak jadi sebab rasa menyibuk pula. Insya-ALLAH semua selamat," tulis afizahsahban.
"Insya-ALLAH tak ada apa-apa... Saya pernah terjatuh anak pertama masa tujuh bulan... Terduduk kakak...Alhamdulillah, tak ada apa-apa... Yang ketiga masa dua bulan lebih jatuh terduduk jugak... Alhamdulillah tak ada apa-apa... Sekarang sudah lima bulan lebih... Pikir baik-baik, doa... Tak de apa-apa sayang," tulis ummitriplerizzq.
"Tak apa Kakak Nourul kalau jatuh kaki dulu... Jaga-jaga bahagian perut dan punggung sahaja daripada terhentak semoga sentiasa dalam perlindunganNya," tulis syifaaminudin.
Melihat komen-komen peminat itu, Nourul bagaimanapun menjelaskan kandungannya berada dalam keadaan baik dan bergerak semakin aktif.
"Alhamdulillah, terima kasih kerana memberi keyakinan kepada saya, Ya bayi bergerak elok macam biasa. Dia lagi aktif. Ini bangkit pagi pun duduk menendang.
"Alhamdulillah kami okey,(cuma) sakit pinggang sahaja. bayi okay," tulisnya lagi.
Sedia maklum Nourul bernikah dengan Eric Daniel Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Zachary Depp dan Raphael Depp.
Sebelum ini, Nourul pernah berkahwin dengan komposer Ajai pada 25 Disember 1996 dan berpisah pada 28 Februari 2007.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Ayu Nazirah yang kini berusia 20 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!