Terimalah laporan garis kemiskinan dengan positif: Nik Nazmi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak sepatutnya bersikap mempertahankan diri terhadap hujah-hujah yang dibuat dalam kenyataan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Profesor Philip Alston.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan sebaliknya harus menerima laporan kajian yang dilakukan oleh PBB dengan positif dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah kemiskinan rakyat.

Katanya, kerajaan malah mempertahankan pendirian bahawa kurang daripada 25,000 isi rumah di Malaysia hidup dalam kemiskinan (atau 0.4 peratus) adalah tidak realistik dan metodologi rasmi menunjukkan kadar kemiskinan adalah lebih rendah.

"Profesor Alston mendakwa bahawa garis kemiskinan rasmi Malaysia sebanyak RM980 juga tidak realistik dan kadar kemiskinan sebenar kita berada dalam kadar 16-20 peratus.

"Sebagai kerajaan yang mendukung reformasi, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bersedia menerima kritikan terbuka atau maklum balas yang dibuat dengan tujuan yang baik terutama apabila menyentuh kebajikan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga memberitahu lebih 40 dapur jalanan beroperasi di Kuala Lumpur.

"Satu dapur jalanan yang saya lawati menyediakan makanan untuk sehingga 700 orang satu malam, dan melaporkan bahawa lebih daripada 40 dapur jalanan beroperasi di Kuala Lumpur.

"Sekurang-kurangnya 17 peratus isi rumah di Kuala Lumpur hidup kurang daripada RM5,000 ($1,197) sebulan, walaupun anggaran gaji harian bagi keluarga yang mempunyai empat ahli di Kuala Lumpur adalah RM6,500 ($1,556). Angka-angka ini tidak menunjukkan bandar yang telah menghapuskan kemiskinan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, mustahil pada zaman ini untuk menyara keluarga dengan hanya RM980 sebulan tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan luar bandar atau bandar termasuklah untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Kerajaan sepatutnya berusaha untuk melibatkan Alston dan pihak berkepentingan masyarakat sivil yang berkaitan untuk menangani masalah kemiskinan, ketidaksamaan dan peminggiran yang nampaknya sudah memuncak di Malaysia.

"Mengabaikan pakar-pakar atau bersembunyi di bilik pendingin hawa tanpa cuba menyelesaikan masalah ini bermakna tiada apa-apa yang berubah di era Malaysia Baru, dan berjuta-juta rakyat Malaysia akan terus menderita kerana kedegilan pemimpin mereka," ujar Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu.

Katanya, Alston telah membuat beberapa saranan yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan, termasuk mengkaji semula garis kemiskinan, mengamalkan dasar ketelusan data yang komprehensif, memperluaskan perbelanjaan perlindungan sosial secara keseluruhan.

Tambanya, Alston turut mencadangkan meningkatkan kualiti pendidikan serta perlindungan dan bantuan yang lebih baik untuk masyarakat orang asal tanpa kerakyatan, pendatang dan pelarian.

"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih mendalam untuk memerangi kemiskinan, termasuk mengkaji kemungkinan melaksanakan Universal Basic Income, subsidi upah serta insentif potongan cukai majikan untuk menaikkan gaji terendah," katanya.

Nik Nazmi menambah, kerajaan Persekutuan tidak boleh mengaku untuk membawa pembaharuan atau mengutamakan kepentingan rakyat jika ia tidak menangani isu-isu ini dengan serius.

"Laporan Pelapor Khas tidak boleh diabaikan, disapu di bawah permaidani untuk dilenyapkan, tapi kita perlu bertindak dengan serius," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!