Gaji tertunggak pemain Singa Utara diselesaikan 60 hari: PFA
Presidennya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, tempoh 60 hari yang diberikan mencukupi untuk PFA menyelesaikan bayaran tertunggak kepada para pemain.
“PFA sudah melantik peguam untuk menyelesaikan masalah ini dan saya akan menemui FAM dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
MFL dalam satu kenyataan semalam mengesahkan skuad Singa Utara itu boleh beraksi dalam Liga Premier (Liga Perdana) 2019, namun perlu menyelesaikan tunggakkan gaji pemainnya.
Menurut MFL sekiranya PFA gagal, skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu tidak akan diberi dana FAM dan MFL untuk musim depan dan wang berkenaan akan digunakan membayar tunggakan gaji pemain.
Mengenai pembelian pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Ahmad Amizal Shaifit berkata PFA menutup pintu rundingan kerana kos yang perlu dijelaskan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak mampu dijelaskan oleh PFA.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam kenyataan Facebooknya malam tadi memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaiki dan menaiktaraf lampu Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!