Dua pekerja sesak nafas selepas terperangkap dalam lif
MELAKA - Dua pekerja di sebuah bangunan perniagaan di Jalan Tun Sri Lanang di sini mengalami sesak nafas selepas terperangkap selama 50 minit di dalam lif di bangunan itu, pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila lif yang dinaiki 25 pekerja tersebut secara tiba-tiba tidak berfungsi dan gagal dibuka di tingkat enam bangunan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.43 pagi dan sepasukan anggota seramai lapan orang termasuk komander operasi dihantar ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
"Setibanya di lokasi kejadian, pintu lif didapati masih terkunci dan anggota bomba berusaha membuka pintu lif menggunakan alat pembuka hidraulik sementara menantikan kehadiran juruteknik.
"Mangsa seramai 25 orang berjaya dikeluarkan dengan selamat, namun dua orang mangsa telah mengalami sesak nafas dan diberi bantuan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kamarulzaman turut menasihati pengguna lif berkenaan supaya mematuhi had kapasiti yang dibenarkan.
"Selain masalah mekanikal, kejadian juga dipercayai berpunca akibat lif berkenaan membawa muatan terlebih had," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!