Belia 18 tahun perlu tunggu dua tahun jadi pengundi

Dr Azmi Sharom - Foto BERNAMA
Dr Azmi Sharom - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Belia yang menginjak usia 18 tahun masih perlu menunggu kira-kira dua tahun lagi sebelum boleh didaftarkan sebagai pengundi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata walaupun Dewan Rakyat pada Julai lepas meluluskan Rang Undang-undang (RUU) menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, namun ia bukan bermaksud belia pada usia itu kini sudah boleh mendaftar sebagai pengundi serta-merta.

Menjelaskan perkara itu kepada Bernama News Channel (Astro 502) dalam satu temu bual eksklusif pada Selasa, Dr Azmi berkata pendaftaran sebagai pengundi akan hanya dilaksanakan secara serentak dengan pendaftaran automatik.

Beliau berkata ini kerana SPR menjangkakan tempoh dua tahun lagi untuk menyediakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik, sekali gus mampu diaplikasi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Pendaftaran secara automatik tu lama lagi, mungkin dalam setahun setengah, mungkin dalam dua tahun, barulah dia dilaksanakan,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ekoran aduan kakitangannya yang sering menerima pertanyaan orang ramai terutama belia 18 tahun yang memohon nama mereka didaftarkan sebagai pengundi serta-merta.

Kakitangan SPR juga perlu memberi penerangan apabila ada antara mereka yang mengadu nama mereka ditolak daripada senarai pendaftar apabila membuat pendaftaran secara dalam talian.

Dr Azmi dalam pada itu berkata, tempoh dua tahun itu juga diperlukan bagi SPR membuat persediaan menghadapi jutaan tambahan pengundi, menentukan pusat dan saluran mengundi mencukupi, selain membeli kotak undi yang banyak serta melatih lebih ramai pegawai SPR.

Artikel Berkaitan:

Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata fokus SPR ketika ini dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara ialah memastikan sistem berkenaan secara teknikalnya telus, selamat dan efisien, agar segala proses pengundian berjalan lancar apabila tiba masanya.

Mengikut rekod, jumlah pengundi pada PRU15 dijangka menjangkau lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 pada 2018. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!