Kantoi cuba pecah tabung masjid

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang penagih berusia 25 tahun berjaya ditahan kurang 48 jam selepas cubaan memecahkan tabung sebuah masjid di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengerusi Masjid Al Khairiah, Selekoh, Bagan Datuk bahawa terdapat cubaan memecah tabung masjid berkenaan.

"Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi Sabtu lalu, terdapat seorang lelaki dipercayai memasuki masjid dan telah cuba memecahkan tabung milik masjid namun gagal. Bagaimanapun perbuatannya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan pengecaman daripada rakaman CCTV tersebut, anggota polis berjaya menahan suspek yang juga merupakan penduduk kampung sekitar masjid terbabit pada jam 2.30 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif dadah.

Menurutnya, suspek turut mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Dengan penangkapan ini, pihak polis percaya kes-kes curi tabung masjid di kawasan Rungkup sama ada tidak melibatkan kerugian ataupun melibatkan kerugian berjaya diselesaikan.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu bagi mengenal pasti penglibatannya dalam kes lain dan kes disiasat di bawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!