Qatar Airways lancar penerbangan ke Langkawi menerusi Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Qatar Airways akan melancarkan penerbangan ke Langkawi menerusi Pulau Pinang dari Doha, empat kali seminggu, bermula 15 Oktober.

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker berkata, penerbangan akan ditambah kepada lima kali seminggu dari 27 Oktober menggunakan pesawat 787 Dreamliner.

"Langkawi ialah destinasi yang menjadi pilihan selepas Pulau Pinang. Saya percaya penerbangan ini akan meningkatkan kemasukan pelancong ke gugusan pulau yang indah itu," katanya pada sidang media berhubung pelancaran penerbangan itu di sini, hari ini.

Akbar berkata, syarikat penerbangan itu juga menjalin usaha sama yang kukuh dengan Malaysia Airlines di bawah perjanjian perkongsian kod.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata penerbangan Qatar Airways pastinya memberi rangsangan diperlukan Langkawi untuk mencapai aspirasi muncul sebagai destinasi pelancong antarabangsa.

"Kami berasa bangga dengan pemilihan Langkawi oleh Qatar Airlines, kerana ia membuka pulau peranginan ini kepada pelancong Timur Tengah,” katanya.

Katanya, Qatar Airways merupakan satu-satunya penerbangan premium daripada Timur Tengah ke Langkawi dan berharap selepas ini, Malaysia Airlines dapat menjadualkan penerbangan dari Langkawi ke Timur Tengah.

"Di Langkawi pada ketika ini, kita boleh melihat bahawa pulau ini kini mempunyai beberapa buah hotel enam bintang. Kami berharap untuk menggiatkan lagi pelancongan termpatan dengan kerjasama ini," kata Mukhriz.

Artikel Berkaitan:

Setakat Jun tahun ini, Langkawi mencatatkan ketibaan 1.5 juta pelancong menerusi jalan laut dan udara dengan kerajaan Kedah positif jumlah itu akan terus meningkat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!